Christophe Gamel selaku pengendali utama Sri Pahang menuntut anak buahnya supaya beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang sebaik sahaja aksi saingan Liga Super kembali bersambung pada bulan depan.
Menurut pengendali dari Perancis itu, beliau mahu setiap pemain sentiasa manfaatkan setiap peluang yang ada selain menuntut mereka untuk terus meningkatkan prestasi dari segi corak permainan ketika berdepan mana-mana lawan.
“Seperti aksi pusingan pertama Piala FA berdepan Manjung City FC, kami mempunyai banyak peluang untuk membolosi gawang lawan.
“Namun, peluang itu tidak dapat disempurnakan tetapi gembira kerana berjaya layak ke pusingan kedua piala berkenaan.
“Oleh itu, saya harap selepas ini pemain dapat beraksi lebih baik apabila saingan Liga Super bersambung,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu menerusi Harian Metro.
Sunday is our Gelora-Day ⚽️🏃🏻 #sripahang pic.twitter.com/oeAjZe45Mh
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) March 27, 2022
Dalam aksi pertama Sri Pahang sewaktu dalam saingan pusingan pertama Piala FA, nyata skuad itu gagal untuk membenam cabaran Manjung City yang bermain di Liga M3 seperti mana yang diramalkan. Sebaliknya mereka diheret pasukan pelawat sehingga ke penentuan penalti sebelum anak buah Gamel menoktahkan kemenangan dan beraksi di peringkat seterusnya.
Bagi segelintir penyokong Sri Pahang, aksi yang dipamerkan oleh pasukan kesayangan mereka perlu diubah menjadi lebih baik kerana sukar untuk skuad tersebut memberi cabaran kepada pasukan lain di Liga Super jika aksi sedemikian masih dikekalkan.
Menurut mereka, Sri Pahang patut tampil dengan aksi lebih menyakinkan dengan empat pemain import dibawa beraksi berbanding lawan, Manjung City yang dibarisi rata-rata pemain muda berusia 25 tahun ke bawah dan kurang berpengalaman.
Untuk itu, diharap kualiti permainan anak buah Gamel mampu dipertingkatkan agar Sri Pahang mampu mrnjadi salah satu pencabar terbaik dalam mana-mana kejuaraan domestik musim ini.
Ditambah dengan beberapa pemain berdarah kacukan serta ada dua pemain yang bakal dinaturalisasi, pastinya harapan para penyokong sangat tinggi dan mahu sesuatu yang membanggakan daripada Sri Pahang.
Skuad Tok Gajah ini sepatutnya beraksi pada perlawanan pertama Liga Super pada 5 Mac lalu berdepan Terengganu dan Selangor selang tiga hari kemudian, namun disebabkan ada beberapa pemain Sri Pahang yang sah dijangkiti wabak Covid-19 menyebabkan dua aksi tersebut terpaksa ditunda ke suatu tarikh baharu.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!