Bintang muda Kuala Lumpur City (KL City), Haqimi Azim Rosli antara pemain yang dijangka mampu mencipta kejutan untuk atasi cabaran Selangor dalam saingan Liga Super seterusnya bagi musim 2024/2025.
Beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pastinya ini menjadi kelebihan terbaik buat skuad kendalian Miroslav Kuljanac untuk mencipta kemenangan kedua mereka musim ini demi mengukuhkan tiga mata seterusnya.
Tampil dengan pelbagai isu dalaman termasuk tunggakan gaji, prestasi KL City sebenarnya masih boleh dianggap sangat positif kerana pasukan itu masih mampu menghadirkan keputusan menarik di atas padang.
Walaupun begitu, cabaran Selangor juga pastinya akan memberi masalah besar buat KL City untuk mendapatkan tiga mata penting pada perlawanan ini.
Hadir dengan reputasi cukup baik bersama momentum positif, jelas skuad kendalian Nidzam Jamil menjadi pilihan lebih utama untuk memenanginya.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan untuk aksi membabitkan KL City berdepan Selangor pada hari ini.
Haqimi Azim (KL City)
Haqimi boleh dianggap sebagai antara pemain muda paling menyerlah ketika ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menerusi impak diberikan beliau bersama KL City sejak beberapa aksi lalu.
Selepas kurang mendapat peluang pada tahun lalu, jelas Kuljanac mempunyai perancangan berbeza pada musim ini dengan menjadikan Haqimi sebagai antara sandaran utama di posisi serangan KL City.
Bintang muda Harimau Malaya ini memiliki keupayaan cukup baik daripada segi kawalan bola, kekuatan fizikal, serta bijak menghidu peluang untuk disudahkan dalam bentuk jaringan.
Paulo Josue (KL City)
Maestro utama pasukan ini berada dalam momentum terbaik buat pasukan menerus sumbangan dicipta beliau cukup besar terutama di posisi tengah serta serangan sejak aksi-aksi lalu.
Catatan semasa menyaksikan beliau kini sudah pun meledak empat gol daripada empat perlawanan diharungi untuk membuktikan dirinya sangat tajam di hadapan gawang gol.
Selain kreatif mencipta peluang, pemain kelahiran Brazil ini juga memiliki keupayaan sangat tinggi melepaskan rembatan dari jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Alvin Fortes (Selangor)
Pemain sayap kanan The Red Giants ini boleh dianggap sebagai antara tonggak import cukup berbahaya di posisi serangan menerusi kelincahan serta ketajaman di hadapan gawang gol.
Terkenal dengan skil kawalan bola beliau yang lincah, Fortes juga menjadi antara pemain paling licik untuk mengatasi pertahanan lawan selain tajam di hadapan gawang gol.
Rekod semasa menyaksikan Fortes sudah pun meledak dua gol daripada empat perlawanan bersama Selangor, dan kelibatnya antara perlu diawasi pertahanan KL City.