Penyerang muda Kuala Lumpur City (KL City), Haqimi Azim Rosli boleh dianggap sebagai antara bintang muda tempatan paling menyerlah untuk ketika ini selepas mengharungi beberapa aksi pada awal musim 2024/2025.
Apa tidaknya, Haqimi bukan sahaja mencuri tumpuan untuk saingan tempatan, malah tampil begitu memberansangkan sewaktu mewakili pasukan kebangsaan bawah 23 (B-23) serta skuad senior Harimau Malaya.
Bagi persaingan domestik, Haqimi ketika ini sudah 10 kali diberi peranan selaku kesebelasan utama bersama KL City selaku penyerang utama bersama pemain senior lain.
Hasilnya, bintang muda ini sudah pun meledak tiga gol serta tiga bantuan jaringan secara keseluruhan selain tampil bersama aksi cukup menyakinkan selaku penyerang harapan negara pada masa hadapan.
Walaupun KL City tampil kurang konsisten serta menghadapi isu dalaman sebelum ini, kehadiran Haqimi di atas padang secara individu boleh dianggap cukup menyakinkan.
Malah pemain ini juga telah pun membuka akaun jaringan di pentas ACC Shopee Cup ketika mereka menewaskan Kaya FC dari Filipina.
Selain memiliki kekuatan fizikal, Haqimi juga merupakan pemain yang kerap memberikan tekanan buat pertahanan lawan selain menjadi kunci utama buat siri serangan KL City.
Bergandingan bersama Paulo Josue, pemain naturalisasi dari Brazil itu tahu kehendak Haqimi dan berjaya memberi sokongan terbaik buat beliau ketika menggerakan serangan.
Di pentas antarabangsa, Haqimi masih lagi segar dengan kejayaannya untuk membantu ‘abang-abang’ beliau meraih kemenangan positif mengatasi Taiwan.
Dimasukkan pada pertengahan separuh masa kedua waktu itu bersama tonggak Penang iaitu Adib Ra’op, beliau berjaya mengubah rentak serangan Harimau Malaya untuk menjadi lebih aktif.
Malah, Haqimi sendiri menjadi wira tunggal Malaysia ketika saingan Piala Asia B-23 di Qatar apabila hanya beliau merupakan satu-satunya penjaring gol buat Harimau Malaya.
Sering disamakan seperti bintang Singapura iaitu Ikhsan Fandi kerana saiz tubuh, posisi, dan ketajaman, masa depan Haqimi kini boleh dianggap sangat cerah untuk menjadi penyerang masa hadapan negara.
Apa yang diperlukan Haqimi kini lebih kepada konsistensi di atas padang selaku penyerang serba boleh selain mengekalkan ketajaman di hadapan gawang gol.
Mendapat kepercayaan daripada pengendali kelab serta jurulatih utama skuad senior negara adalah sesuatu perlu terus dilakukan Haqimi untuk mengelakkan dirinya menjadi antara bakat terbuang di Malaysia seperti pernah dihadapi oleh beberapa pemain berpotensi lalu.
Sudah tentu, Haqimi memiliki azam tersendiri untuk memberikan yang terbaik jika beliau turut diberikan peluang pada aksi menentang New Zealand.