Quantcast

BERITA

Hanya Kerana Nama Yang ‘Susah Nak Eja’, Gladbach Jana Hampir €30K Dalam Masa 2 Hari

Kelab Jerman, Borussia Monchengladbach dilaporkan berjaya menjana duit hanya dengan menghasilkan mafla edisi terhad yang tertulis “A German Team”.

Gladbach pada awalnya mengeluarkan hanya 2000 unit sahaja. Namun, tidak disangka-sangka sambutan ke atas mafla tersebut sangat luar biasa. Kesannya, dalam tempoh 2 hari, mafla itu habis dijual.

Sehelai mafla tersebut dijual dengan harga sekitar €14.95. Jadi secara matematiknya, mereka berjaya mendapat €29,900 daripada penjualan mafla tersebut. Ia disifatkan satu fenomena oleh kelab tersebut.

Melihat kepada permintaan yang luar biasa, kelab terpaksa menempah 2000 unit tambahan untuk menampung permintaan daripada para peminat.

glad2

Dari segi reka bentuk dan tulisan “A German Team”, mungkin tidak ada apa yang istimewa.

Namun sebenarnya, ada kisah yang membuatkan mafla “A German Team” atau terjemahannya “Sebuah Pasukan Jerman” ini menjadi istimewa.

Bagaimana timbulnya nama “A German Team”?

Kisahnya begini, pemilik sebuah bar di Scotland gagal mengeja nama panjang kelab Jerman tersebut pada papan iklan untuk promosi sempena perlawanan kelab Celtic dan Borussia Monchengladbach.

Pihak kami di HQ semuanyaBOLA pun bermasalah untuk mengeja nama tersebut.

Berbalik kepada kisah pemilik bar tersebut, setelah beberapa kali cubaan ejaan tidak menjadi. Dia Akhirnya menulis “A German Team” atau “Sebuah Pasukan Jerman” bagi menyelesaikan masalah tersebut.

glad

Pemilik itu merancang untuk menyiarkan perlawanan UCL itu di premisnya. Tetapi gambar papan iklan itu viral di media sosial dan menjadi bahan hiburan dan jenaka.

Ia sampai ke pengetahuan pihak Gladbach dan mereka turut berkongsi gambar tersebut di akaun Twitter rasmi mereka. Gladbach turut menukar nama twitter rasmi mereka dengan nama A German Team untuk beberapa hari.

gladbach

Lalu timbul idea kelab Jerman tersebut untuk menghasilkan mafla edisi terhad dengan nama ” A German Team” sempena meperingati bagaimana sukarnya orang di luar sana mengeja nama Borussia Monchengladbach.

glad

Ketua Perhubungan dan Komunikasi Gladbach, Markus Aretz berkata, mereka memang sudah biasa melihat betapa sukarnya orang di luar mengeja nama kelab mereka termasuk penyokong mereka sendiri yang berada di luar Jerman.

Beliau berkata kepada Radio 5:

“Kami tahu ia memang nama yang susah untuk dieja dan disebut. Kami tidak rasa diejek atau sensitif dengan hal itu. Kerana ramai merasakan nama itu memang seperti satu jenaka.”

“Tambahan pula, kelab kami tidak sepopular Barcelona, Real Madrid dan Manchester United, walaupun suatu ketika dahulu pada era 1970-an kami ada sejarah tersendiri dalam bola sepak Eropah”

Gladbach mungkin akan meluaskan produk dengan nama A German Team untuk cendera mata yang lain selain daripada mafla.

Itulah kisah bagaimana kuasa viraliti di media sosial mampu memberikan keuntungan kepada kelab. Adakah anda bermasalah juga untuk mengeja Borussia Monchengladbach?

Nota penulis: Penulis ada seorang rakan sekelas dari Jerman yang tinggal tidak jauh dari kota Monchengladbach ini. Tetapi sayang, dia lebih meminati tenis daripada bola sepak!

Baca juga : 3 Tindakan Terpuji Borussia Monchengladbach Kepada Penyokong Selepas Perlawanan UCL Tertangguh