Hanya Dengan £90 Juta, Kesebelasan Utama Bayern Munich Buat Lawan ‘Terpukau’

Bayern Munich

Dalam era bola sepak moden ini sudah pasti ramai beranggapan bahawa kejayaan boleh dicapai sekiranya sesebuah kelab menabur wang yang banyak dalam usaha untuk membawa masuk pemain berkualiti seperti dilakukan kebanyakan pasukan.

Contoh yang paling mudah untuk kita saksikan ialah bagaimana Paris Saint-Germain (PSG) menguatkan pasukan mereka dengan membawa masuk Neymar dan Kylian Mbappe di mana gandingan kedua-kedua pemain tersebut sahaja sudah mencecah nilai £329 juta.

Namun, lain pula ceritanya tentang sebuah lagi pasukan finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20, Bayern Munich apabila barisan kesebelasan utama kelab gergasi tersebut pada ketika ini hanyalah bernilai £90 juta.

Manuel Neuer menjadi pemain termahal buat barisan hebat Bayern Munich apabila beliau menyertai kelab Bavaria tersebut daripada Schalke 04 dengan tanda harga bernilai £27 juta pada musim 2011/12.

Kemudiannya Thiago Alcantara hadir dengan harga £22.5 juta selepas beliau berhijrah dari Barcelona untuk menyertai Pep Guardiola yang ketika itu bergelar pengurus Bayern Munich.

Pertahanan kental, Jerome Boateng pula datang dengan nilai £12 juta selepas beliau hanya mampu bertahan semusim di Manchester City. Kembalinya semula beliau ke Jerman jelas merupakan pilihan yang amat bijak kerana Boateng menjadi pilihan utama pengurus-pengurus Bayern Munich.

Selebihnya, para pemain kesebelasan utama Bayern Munich berada di bawah nilai £10 juta apabila Alphonso Davies dibawa masuk dengan harga £9 juta, Joshua Kimmich dan Serge Gnabry pula hanya bernilai £7 juta serta David Alaba [£135 ribu].

Lebih menarik dan menguntungkan, Robert Lewandowski dan Leon Goretzka pula berstatus ejen bebas ketika Bayern Munich membawa mereka masuk pada musim 2014/15 [Lewandowski] dan 2018/19 [Goretzka].

Sementara itu pemain berpengalaman, Thomas Muller pula merupakan lulusan Akademi Bayern Munich yang dinaikkan pangkat ke skuad utama bermula musim 2008/09. Manakala menurut sumber Sport Bible, Ivan Perisic yang dipinjam daripada Inter Milan pula dilaporkan bernilai £4.5 juta

Nyata nilai yang begitu rendah dicatatkan buat kesebelasan utama Bayern Munich tetapi mampu untuk menjelmakan corak permainan menarik di pentas Eropah dan kini berpeluang untuk menjulang trofi UCL buat kali keenam.

Pada tiga aksi terakhir saingan UCL, dapat disaksikan pasukan lawan tidak berupaya untuk menyekat keghairahan skuad bimbingan Hansi Flick ini daripada ‘menceroboh’ kubu pasukan mereka di mana Bayern menang 4-1 ketika bertemu Chelsea, membelasah Barcelona 8-2 dan menang 3-0 pada separuh akhir menentang Lyon.

Bagaimanapun harus diingat bahawa di bangku simpanan masih terdapat pemain-pemain dengan nilai yang tinggi dimiliki oleh Bayern Munich seperti Lucas Hernandez [£72 juta], Benjamin Pavard [£30 juta] dan Niklas Sule dengan £23 juta.

Kelihatannya Bayern banyak melabur untuk memperkuatkan jentera pertahanan kerana ketiga-tiga pemain itu beraksi di posisi tersebut.

Kredit featured image: FC Bayern Munchen

Baca artikel lain dari kami mengenai Bayern Munich:

Leave a Reply