Jika sebelum ini kita menganggap skuad bola sepak Kedah Darul Aman (Kedah) mungkin hanya menunggu masa sahaja untuk rebah, tetapi situasi kini menyaksikan penyokong Sang Kenari terlebih dahulu seolah sudah pun lenyap selamanya.
Bukan untuk menimbulkan kemarahan atau sebarang provokasi pada penulisan ini, melainkan ia hanya gambaran kepada keadaan sambutan semasa daripada segi penjualan tiket perlawanan membabitkan Kedah dan Terengganu yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.
Apa tidaknya menerusi perkongsian semasa laman rasmi pasukan tersebut semalam, rekod pembelian tiket online untuk aksi Kedah bertemu Sang Penyu hanya terjual empat keping sahaja.
Sasaran 10,000 keping diletakkan mereka seolah makin sukar direalisasikan jika melihat kepada lesunya ‘trend’ pembelian tiket dalam kalangan penyokong.
Atas faktor banjir? Kewangan penyokong tidak kukuh? Kecewa akan keadaan semasa pasukan di dalam dan luar padang? Hanya penyokong memiliki jawapannya.
Mengimbas kepada masa-masa lalu, di mana penulis sendiri pernah merasakan bola sepak di negeri itu terlalu sebati bersama para penyokong sehingga sambutan diberikan mereka cukup ‘menggila’.
Demam sukan tersebut di Kedah bukan suatu perkara yang asing lagi sejak sekian lama, apatah lagi bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil sendiri mendedikasikan dirinya buat Sang Kenari atas rasa kecintaan bersama para penyokong.
Apa sahaja aksi membabitkan Sang Kenari di Kedah, pasti para penyokong dari setiap pelusuk daerah akan hadir memberi sokongan dengan suasana beratur panjang untuk pembelian tiket di stadium menjadi bukti suatu ketika.
Ketika ini, masih ramai sebenarnya mencintai kelab tersebut dengan sekelompok penyokong terus meniupkan rasa semangat untuk menyeru lebih ramai hadir ke stadium.
Namun, masih ramai juga memandang sepi dan membiarkan semangat tersebut lena dalam jiwa dan membiarkan ia seolah terkubur di sudut hati paling dalam.
Melihat kepada keadaan semasa pasukan tersebut, tiada apa diperlukan oleh pemain serta kejurulatihan selain sokongan padu penyokong untuk terus menaikkan motivasi mereka di atas padang.
Bangunlah penyokong, jika pasukan ini suatu hari nanti berkubur sekali pun, jangan biarkan nama Kedah terus terpadam dalam peta bola sepak Malaysia dengan membuktikan anda masih ada untuk memberi sedikit cahaya harapan.
Cahaya harapan agar suatu hati nanti pasukan itu bakal kembali bersinar berkat dukungan kecil anda, selain legasi itu mampu dibiarkan berkekalan sehingga selamanya.