Negeri Sembilan telah mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pasukan tersebut tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.
Ia berikutan seramai 4 orang pegawai dan 20 orang pemainnya telah sah dijangkiti Covid-19. Semua yang terlibat kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah dan dipantau selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat di atas nasihat yang diberikan oleh Doktor Pasukan, pihak NSFC ingin memohon setinggi-tinggi kemaafan kepada para penyokong pasukan kerana hal ini turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada 20 Oktober 2021,” ujar kenyataan tersebut.
“Pasukan Negeri Sembilan FC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.”
Negeri Sembilan yang baru sahaja menjuarai Liga Premier pada bulan lalu kini di kedudukan ketiga dalam kumpulan C dengan mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan.
Dari baki empat perlawanan di peringkat kumpulan, tiga daripadanya akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan pastinya penyokong setia skuad Jang sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi stadium.
Namun dengan perkembangan terbaharu ini, pastinya para penyokong kecewa tidak dapat melihat pasukan kesayangan mereka kembali menjuarai Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi adalah pada tahun 2011.