Hampir Ditembak Kartel Dadah, Richarlison Kini Bintang Harapan Emas Brazil

Richarlison muncul wira Brazil apabila menghasilkan hatrik dalam tempoh 30 minit untuk membantu negaranya menewaskan Jerman 4-2 dalam aksi Kumpulan D Sukan Olimpik semalam.

Kemenangan dalam aksi sulung buat kedua-dua pasukan amat penting untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya, dalam usaha memburu pingat emas.

Penyerang Everton itu nyata berjaya memberi masalah kepada bahagian pertahanan Jerman sepanjang perlawanan. Tetapi tahukan anda kelibat Richarlison mungkin tidak akan kita lihat di Sukan Olimpik kali ini sekiranya pengurus Everton, Rafael Benitez berdegil untuk melepaskan pemain pentingnya itu.

Benitez yang baru dilantik selaku pengurus kelab Merseyside itu kini dalam proses mengenali setiap pemain dan sedang sibuk merancang latihan untuk menghadapi saingan musim baharu.

Pengurus dari Sepanyol itu bagaimanapun menyedari kepentingan Sukan Olimpik kepada rakyat Brazil, dan harapan mereka kepada Richarlison untuk merealisasikan pingat emas, sebelum memberi pelepasan kepada pemain itu.

Richarlison de Andrade

Richarlison de Andrade dilahirkan pada 10 May 1997 dan berasal dari Nova Venécia, Brazil. Beliau hanya berusia 20 tahun ketika tiba di England.

Bola sepak telah membawa anak muda ini berada jauh dari perantauan.

Dan perjalanan hidupnya seperti ianya sudah ditakdirkan, bahawa satu hari nanti beliau akan bergelar pemain skuad Seleção.

Sumber: Instagram Richarlison

Karier awal

Segalanya bermula sukar buat Richarlison. Bandar kelahiran beliau terkenal dengan aktiviti penjualan dadah, dan penggunaan senjata agak berleluasa.

Di usia remaja, Richarlison bekerja untuk duit poket beliau sendiri. Apa yang akan dilakukan saban hari ialah menolak kereta sorong sambil menjual aiskrim dan barangan lain sambil mengambil upah dari mencuci kereta di sekitar bandar.

Richarlison ketika kanak-kanak.

Di masa lapang, Richarlison akan bermain bola sepak di jalan-jalan atau lorong-lorong sekitar bandar seperti mana kanak-kanak lain di Brazil.

“Saya juga bekerja dengan sebuah pemilik kedai. Saya akan keluar dengan barangan dari kedai, dan akan kembali menjelang senja.”

“Apa saja yang terjual, akan ada peratusan untuk saya sebagai upah,” ujar Richarlison kepada Daily Mail dalam satu temuramah ketika berkongsi kisah hidupnya.

Gambar fail (Photo by In Pictures Ltd./Corbis via Getty Images)

Kehidupan di Nova Venécia bukan sahaja sukar, tetapi juga mencabar. Nyawa Richarlison pernah berada di hujung tanduk, selepas diacukan pistol di kepala oleh pengedar dadah yang tersilap identiti.

Beliau pada mulanya dituduh mencuri dadah milik kumpulan tersebut. Mujurlah beliau sempat menyelamatkan diri.

Tatkala ramai rakan sebaya yang lain terjebak dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap dan dadah, Richarlison sedar beliau perlu pergi jauh untuk memiliki sebuah kehidupan.

Karier awal

Demi merealisasikan impian di dalam bola sepak, Richarlison terpaksa meninggalkan kampung halaman sejauh ratusan batu.

Pada mulanya Richarlison membawa diri untuk menyertai uji bakat bersama Figueirense, tetapi beliau gagal meyakinkan kelab tersebut.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Enggan berputus asa, Richarlison kemudiannya menghadiri sesi uji bakat bersama America Miniero dan dari situlah segalanya bermula.

Kegigihan dan keazaman yang dimiliki oleh Richarlison kemudiannya berjaya membuahkan hasil apabila dipanggil untuk bersama Fluminense di liga utama Brazil, selepas hanya semusim di Miniero.

(Photo by Pedro Vilela/Getty Images)

Mempunyai susuk tubuh yang sasa, membuatkan Richarlison terus mendapat tempat di dalam skuad utama pasukan Serie A Brazil itu.

Juga di dalam tempoh semusim, aksi Richarlison pantas mencuri tumpuan kelab-kelab di eropah, setelah hanya tampil di dalam 42 perlawanan, dan menjaringkan 9 gol untuk Fluminense.

Corak permainan

Mana-mana pemain bola sepak dari Brazil yang beraksi di eropah atau England, pasti akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Perkara sebaliknya yang dialami oleh Richarlison. Dan ia harus berkaitan dengan corak permainan yang dimiliki oleh pemain ini.

Sumber: Daily Mail

Ronaldo, Ronaldinho atau pun Neymar adalah contoh beberapa pemain Brazil yang memiliki skill individu yang tinggi. Richarlison menawarkan aspek lain melalui permainannya.

Disebabkan kekuatan fizikal yang dimilikinya, Richarlison gemar bersaing satu dengan satu dengan pemain pertahanan lawan secara fizikal, termasuk perebutan bola di udara.

Richarlison boleh bermain di peranan No.10, penyerang kedua dan juga penyerang sayap.

Bukan sahaja pemain ini memiliki sentuhan samba sebagaimana pemain kelahiran Brazil yang lain, kekuatan tubuh badannya membuatkan beliau gemar bersaing dengan pemain pertahanan secara lebih fizikal, termasuk dalam perebutan bola tinggi.

Sumber: Daily Mail

Mentaliti yang dimiliki oleh beliau juga ditampilkan di dalam permainan sekaligus menghasilkan corak permainan agresif dan combative.

Maka tidak hairanlah mengapa pada musim lalu, Richarlison menjadi pemain yang paling kerap dikasari pemain pertahanan lawan yang melihat beliau sebagai ancaman utama.

Dari Campeonato Brasileiro Série A ke Premier League

Semusim di Atletico Moneiro dan Fluminese, Richarlison kemudiannya ke Premier League bersama Watford.

Watford bukan satu-satunya pilihan ketika pemain ini mengambil keputusan untuk meneruskan karier di Eropah.

Sebelum itu Ajax terlebih dahulu telah membuat tawaran kepada beliau. Bagaimanapun tawaran oleh Ajax ditolak oleh Richarlison.

Richarlison tidak membuang masa untuk menyesuaikan diri di Watford.

“Beliau adalah pemain sensasi, dan pemain muda yang baik. Beliau adalah pemain yang sentiasa bekerja keras dan sentiasa bersemangat untuk memulakan latihan. Beliau pasti akan berjaya di England,” ujar bekas jurulatih Fluminese, Abel Braga.

Marco Silva

Marco Silva adalah antara individu yang paling dipercayai oleh Richarlison sejak tiba di England.

Malah keputusan untuk menolah tawaran Ajax untuk menyertai Watford adalah hasil pengurus dari Portugal itu.

Menurut ejen kepada Richarlison, Renato Velasco, pengurus Watford pada ketika itu, Marco Silva telah menghubungi pemain tersebut secara peribadi, sejurus sebelum tawaran dari Ajax dimuktamadkan.

. (Photo by Julian Finney/Getty Images)

“Kami percayakan kebolehan anda. Anda juga mempunyai segalanya untuk beraksi di sini. Mari sertai kami,” ujar pengendali dari Portugal itu.

Silva turut meyakinkan Richarlison bahawa Heurelho Gomes yang juga berasal dari Brazil akan membantu beliau menyesuaikan diri.

(Photo by Mark Thompson/Getty Images)

Silva tidak bercakap kosong apabila berkata demikian. Watford dikatakan menyediakan masakan Brazil khas untuk Richarlison.

Richarlison juga ditempatkan untuk tinggal bersama Velasco, untuk memastikan pemain tersebut menyesuaikan diri secepat mungkin dengan persekitaran baru.

Dari Watford ke Everton

Setelah hanya semusim di Vicarage Road selepas menyertai Watford dari Fluminese dengan tanda harga £11.2 juta, Richarlison sekali lagi berhijrah, kali ini ke Goodison Park untuk menyertai Everton pada musim panas lalu.

Perpindahan ke Everton sememangnya sudah dijangka setelah Marco Silva turut mengubah angin menyertai kelab dari Merseyside itu terlebih dahulu.

Beliau merupakan sasaran utama Marco Silva. Ada laporan menyatakan yang Silva meletakkan syarat membawa Richarlison sekiranya Everton mahukan khidmat beliau.

Tiba dengan tanda harga £40 juta, ramai bertanggapan tanda harga tersebut terlampau mahal untuk pemain seperti Richarison.

Walaupun layangan kad merah dalam perlawanan menentang Bournemouth sedikit merencatkan permulaan di Everton, namu tiga gol jaringan Richarlison setakat ini jelas adalah amaran awal pemain ini sudah bersedia untuk membuktikan dirinya selepas ini.

The Selecao

Menjadi impian mana-mana pemain untuk menyarung pasukan negaranya. Begitu juga dengan Richarlison. Hanya pada Julai lalu beliau menyatakan niat untuk beraksi bersama negaranya.

Namun disebabkan oleh bakat yang ada di Brazil dan usia beliau, tidak ramai yang menjangkakan Richarlison akan mendapat panggilan daripada Tite begitu awal.

Namun satu lagi khabar gembira untuk pemain Everton itu apabila nama beliau berada dalam senarai panggilan skuad kebangsaan Brazil pada September 2018 untuk tugasan antarabangsa berhadapan Amerika Syarikat dan El Salvador

Richarlison tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu. Piala Dunia 2018 mungkin terlalu awal untuk pemain ini. Namun sejak panggilan pertama menyertai pasukan negaranya itu, Richarlison adalah antara nama wajib setiap kali skuad Brazil dikumpul.

Richarlison adalah antara pemain Selecao yang muncul naib juara Copa America baru-baru ini. Kini pemain itu adalah harapan utama skuad Brazil untuk membawa pingat emas dari Sukan Olimpik Tokyo – mengulangi pencapaian mereka empat tahun lalu di Rio de Janerio.

 

Baca artikel menarik lain bola sepak antarabangsa melalui pautan:

Perarakan Skuad Itali Jadi Punca Kes Covid-19 Di Rom Naik Mendadak

Apa Jadi Kepada Master League Selepas PES Dijenamakan Menjadi eFootball?

12 Pemain Premier League Sedang Bersama Negara Masing-Masing Di Sukan Olimpik

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN