Hampir 2 Juta Penonton Jadi Saksi Terengganu Layak Ke Separuh Akhir Piala FA 2022

Saingan Piala FA musim 2022 boleh dikatakan sangat meriah kali ini dengan jumlah kehadiran penyokong yang hadir di stadium untuk memberi sokongan buat pasukan masing-masing demi melayakkan diri ke final.

Setelah dua tahun saingan tersebut tidak diadakan kerana wabak pandemik Covid-19, para penyokong bola sepak tempatan pastinya merindui kejohanan tersebut yang dianggap salah satu piala prestij tinggi di Malaysia.

Boleh dikatakan kedua aksi saingan separuh akhir ini sangat meriah apabila dikhabarkan dua stadium yang melibatkan keempat pasukan bertanding penuh dengan para penyokong.

Untuk saluran Unifi di aplikasi Youtube juga tidak terkecuali apabila perlawanan melibatkan Terengganu dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, melakar rekod jumlah tontonan tertinggi sebanyak 1.8 juta orang.

Sebelum itu, perlawanan membabitkan antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Penang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) juga tidak terkecuali apabila meraih sebanyak 1.6 juta tontonan di saluran tersebut.

Untuk rekod tontonan tertinggi bagi saingan Liga Super setakat ini masih lagi belum ada mana-mana perlawanan lain dapat menggugat jumlah penyokong yang menyaksikan antara aksi Sabah menentang JDT.

Jumlah tontonan untuk perlawanan tersebut setakat ini telah pun melebihi angka 2.2 juta orang dan itu menjadi jumlah tertinggi bagi aksi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Untuk rekod, kebanyakan perlawanan membabitkan JDT setakat ini kesemuanya melebihi 1 juta tontonan dan jumlah tersebut dilihat sangat konsisten pada musim ini berbanding pasukan-pasukan lain.

Untuk aksi pembukaan Liga Malaysia musim ini iaitu saingan Piala Sumbangsih yang membabitkan perlawanan antara JDT menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada awal musim ini juga mempunyai jumlah tontonan yang memberansangkan.

Perlawanan tersebut mendapat jumlah tontonan sebanyak 1.2 juta orang dan saingan pertama Liga Super 2022 selepas itu juga membabitkan aksi JDT menentang Penang mendapat jumlah tontonan tertinggi sebanyak 1.8 juta.

Walaupun jumlah kehadiran penyokong di stadium musim ini tidak begitu memberansangkan, namun jumlah tontonan di saluran Unifi jelas boleh dikatakan amat tinggi untuk setiap perlawanan.

Selain percuma, para penyokong juga boleh melihat di mana sahaja serta menggunakan apa-apa peranti yang menyokong aplikasi Youtube untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi.

Dijangka untuk aksi final membabitkan JDT dan Terengganu tidak lama lagi, jumlah tontonan di saluran Youtube tersebut mungkin bertambah kerana kedua pasukan itu mempunyai jumlah penyokong yang sangat ramai dan fanatik.

Leave a Reply