Hamidin:”Berikan Sokongan Kepada TCH, Beliau Sedang Bentuk Pasukan Untuk Piala AFF”

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin seperti penyokong yang lain juga, kecewa dengan kegagalan untuk menang ke atas pasukan di ranking ke-189 Mongolia.

Tetapi beliau mahu semua pihak memberikan sokongan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk pasukan Harimau Malaya dengan acuan beliau.

Dipetik daripada laman Facebook FAM semalam, beliau berkata:

“Kita akui bahawa keputusan seri 2-2 dengan Mongolia pada perlawanan persahabatan antarabangsa “A” di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sesuatu yang mengecewakan.”

“Ini kerana skuad Harimau Malaya terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam 11 perlawanan selepas kali terakhir kita berjaya melakukannya ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar pada 20 November 2016.”

Kesilapan individu dan leka punca kita gagal menang

“Memang jika berdasarkan ranking Malaysia di kedudukan ke-178 dunia berbanding Mongolia ke-189 dunia, kita sepatutnya menang perlawanan ini.”

“Tetapi selepas dua kali mendahului, kita dibolosi dua gol mudah yang berpunca daripada kesilapan individu dan sedikit kelekaan.”

Nasib tak menyebelahi

Dato’ Hamidin juga menyatakan yang skuad Malaysia agak kurang bernasib baik apabila ada 2 percubaan yang terkena palang.”

“Nasib juga nampaknya seakan tidak memihak kepada kita apabila tandukan Fadhli Shas terkena tiang dan sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor menggegar palang.”

“Jika tidak, sekurang-kurangnya kita sudah berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan selama 16 bulan ini.”

Realistik

Dato Hamidin menjelaskan yang ini adalah tugasan pertama Tan Cheng Hoe. Jadi, beliau meminta semua pihak realistik dalam meletakkan harapan dan tekanan kepada pasukan ini untuk minggu antarabangsa kali ini.

Beliau menjelaskan Tan Cheng Hoe lebih fokus kepada usaha untuk membentuk pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki 2018. Ini selepas Malaysia sudah tersingkir daripada kelayakan Piala Asia.

Justeru, peluang yang ada akan digunakan untuk pembentukan pasukan bagi Piala Suzuki 2018.

“Apa pun kita semua perlu realistik memandangkan ini perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.”

“Skuad yang baru berkumpul selama lima hari sejak Ahad lalu dan beliau masih dalam tempoh permulaan untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018.”

“Piala Suzuki AFF 2018 akan berlangsung dalam tempoh tujuh atau lapan bulan lagi iaitu bermula 8 November depan.”

“Barisan kejurulatihan masih cuba mencari kombinasi terbaik dan membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain yang dipanggil.”

“Saya yakin mereka akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang termasuk bertemu Lebanon pada 27 Mac ini dan Nepal pada 1 April.”

Jangan tuding jari kepada Presiden sahaja!

Dato Hamidin juga meminta peminat bola sepak agar tidak terlalu mudah menuding jari kepada Presiden FAM sahaja di atas apa yang berlaku. Sebaliknya, beliau menegaskan ianya adalah tanggungjawab secara kolektif.

“Justeru dalam keadaan sebegini, para penyokong dan peminat bola sepak tanah air tidak bolehlah menyalahkan Presiden FAM, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim seorang saja di atas kegagalan skuad Harimau Malaya menewaskan Mongolia, malam tadi.”

“Kami semua di FAM termasuk jurulatih dan pemain sendiri perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini bagi memperbaikinya pada perlawanan akan datang.”

Dalam akhir ucapan beliau, Dato’ Hamidin meminta penyokong Malaysia untuk mencontohi penyokong luar negara yang sentiasa menyokon pasukan ketika menang atau kalah.

“Penyokong kita juga perlu mencontohi penyokong di luar negara yang mana mereka terus akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi ketika menang atau kalah.”

“Bukannya terus mengkritik dan menghina pasukan setiap kali gagal mencatat kemenangan. Jika kita tidak menyokong skuad Harimau Malaya, siapa lagi?”

Beliau mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan beliau kepada penyokong yang hadir ke stadium termasuk Ultras Malaya dan berharap sokongan yang berterusan diberikan.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kira-kira 10,000 penyokong termasuk Ultras Malaya yang telah hadir ke Bukit Jalil, malam tadi dan harap sokongan ini berterusan untuk perlawanan menentang Nepal pada 1 April nanti.”

Kami bersetuju dengan kenyataan Dato’ Hamidin untuk memberikan ruang dan peluang kepada Tan Cheng Hoe membentuk pasukan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018.

Usaha itu memerlukan semua pihak bersatu hati demi bola sepak Malaysia. Ayuhlah kita bersatu hati semua.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN