Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mahu skuad bawah 23 B-23 berusaha supaya pasukan tersebut cuba untuk mendapatkan slot ke saingan Olimpuk di Paris 2024 .
Skuad B-23 negara bakal menghadapi saingan Piala Asia B-23 pada tahun hadapan, dengan kini kem latihan pusat sudah pun dimulakan dengan lebih awal.
Bawah kendalian jurulatih baharu mereka iaitu Juan Torres Garrido, sudah tentu harapan yang diletakkan para penyokong bola sepak Malaysia kini sangat tinggi serta mengharapkan perubahan lebih baik.
Beberapa nama pemain yang dipanggil kali ini juga turut mendapat perhatian termasuk bintang warisan baharu iaitu Richard Chin yang memiliki pengalaman di England.
Nama Richard antara yang paling mencuri tumpuan kini, selepas pemain tersebut memiliki pengalaman cukup luas pada usia muda di England dan mampu bermain di beberapa posisi.
Selain itu, beberapa lagi bintang tempatan seperti Najmudin Akmal, Alif Ikmalrizal, Luqman Hakim Shamsudin, Haqimi Azim, dan Aiman Afif antara masih diberi kepercayaan penuh untuk menyertai kem latihan pusat tersebut.
Menurut Hamidin, berdasarkan kemampuan dimiliki skuad B-23 Malaysia kini, beliau mahu pasukan itu berusaha untuk mendapatkan slot ke saingan Olimpik Paris untuk edisi 2024 walaupun bakal menghadapi cabaran getir dengan sekurangnya cuba layak ke suku akhir terlebih dahulu.
Menyedari hakikat cabaran bakal dihadapi pasukan tersebut, Hamidin menyatakan beliau bakal berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Malaysia B-23 tampil dengan aksi terbaik pada saingan Piala Asia tahun hadapan di Qatar.
“Sebagai presiden, saya mesti berusaha dan saya sudah cakap dengan pengurusan pasukan dan jurulatih (Garrido) untuk pergi semaksimum yang boleh dan cuba layak ke suku akhir dahulu.
“Saya tahu cabaran memang sukar kerana hanya tiga pasukan sahaja yang akan layak (ke Sukan Olimpik Paris 2024 ), Jepun dan Korea Selatan pula pasukan yang bagus dan sebahagian pemain mereka pernah beraksi di Piala Dunia,” katanya menerusi Harian Metro.
Untuk rekod, Piala Asia B-23 ini bakal menawarkan slot ke saingan Olimpik di Paris pada tahun 2024 dengan tiga pasukan teratas layak menyertai kejohanan tersebut.
Walaupun begitu, bagi pasukan yang berada di tempat keempat juga masih berpeluang menyertai kejohanan tersebut dengan syarat mereka perlu membuat perhitungan menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) dalam aksi playoff.
Bola sepak Malaysia juga tidak asing dalam saingan Olimpik kerana pasukan kebangsaan pernah melayakkan diri secara merit sebanyak dua kali dalam kejohanan itu.