Hamidin: “Sebagai Pemain Kebangsaan Anda Perlu Beri Lebih Daripada 100%”

Datuk Hamidin Mohd Amin yang merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu para pemain bawah 23 (B-23) negara mempamerkan kebangkitan pada saingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Apa tidaknya, Malaysia tampil dengan mengecewakan pada saingan Piala AFF B-23 lalu di Rayong, Thailand selepas hanya menamatkan cabaran di kedudukan keempat terbaik sahaja.

Walaupun bermula dengan langkah kanan untuk mencatat kemenangan sulung mengatasi Indonesia, secara keseluruhan skuad kendalian E. Elavarasan tampil dengan sangat tidak konsisten menerusi corak permainan.

Malah, sudah ada beberapa pendapat yang menyuarakan hasrat supaya khidmat Elavarasan digantikan oleh pengendali lain lebih berkaliber untuk memacu Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2024.

Namun, pengendali tersebut sehingga kini dikekalkan dengan turut membariskan lebih ramai pemain-pemain baharu berbanding ketika saingan Piala AFF lalu.

Hamidin yang hadir semalam dalam sesi perjumpaan bersama para pemain B-23 tampil untuk memberi galakan motivasi kepada mereka supaya mampu membuktikan sesuatu dalam saingan Piala Asia yang akan berlangsung di Chonburi, Thailand bulan hadapan.

Jelas Hamidin, selepas melihat peningkatan yang dipamerkan oleh barisan pemain muda negara kini, beliau percaya mereka mampu menjadi pasukan terbaik di rantau ini jika terus memberikan fokus penuh bawah kendalian Elavarasan.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada pemain B-23 negara supaya tidak memandang ringan akan cabaran pasukan lain dalam Kumpulan H yang turut diwakili oleh Bangladesh, Filipina, serta Thailand selaku tuan rumah.

“Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus.

“Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi,” katanya di Facebook rasmi FAM.

Selain Hamidin, majlis perjumpaan itu turut dihadiri Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub, Exco FAM, Dato’ Sri Shahril Mokhtar selaku pengurus pasukan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.

Malaysia bakal memulakan kempen saingan Kumpulan H dengan membuat perhitungan bersama Bangladesh pada 6 September sebelum berdepan cabaran Filipina tiga hari kemudian, akhir sekali Thailand.

Beberapa nama besar turut dipanggil kali ini untuk memperkukuhkan skuad muda kebangsaan seperti Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Luqman Hakim Shamsudin, Nooa Laine serta ramai lagi untuk membawa cabaran negara ke pentas Asia.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN