Hamidin & Pau Marti Bincang Hala Tuju Baharu Skuad Harimau Malaya

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Bin Mohd Amin dilaporkan sudah pun mengadakan pertemuan bersama pemangku jurulatih baharu Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.

Pertemuan itu telah pun diadakan di Mallorca, Sepanyol dengan FAM menyatakan ia sebagai langkah awal untuk perancangan masa hadapan pasukan kebangsaan.

“Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah mengadakan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente di Mallorca, Sepanyol, pagi tadi.

“Ia sebagai langkah segera bagi membincangkan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan seperti yang diumumkan pada satu sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

“Datuk Haji Hamidin yang merupakan Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, Hamidin bersama Pau Marti juga mengakui masih terkejut akan keputusan dibuat oleh Kim Pan-gon yang sebelum itu melepaskan jawatan beliau selaku pengendali Harimau Malaya.

“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

“Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” kata beliau.

Selain itu, Hamidin sendiri turut menyatakan beliau akan terus memberi segala sokongan diperlukan untuk memastikan ranking Malaysia di pentas antarabangsa mampu diperbaiki termasuk persiapan Pestabola Merdeka 2024 tidak lama lagi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.

“Cuma saya sedikit terkilan kerana beliau sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.

“Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini,” tambah beliau lagi.

Selain itu, bekas pengendali skuad pembangunan Barcelona iaitu Pau Marti mengakui sedikit sedih dengan apa telah berlaku sambil mahu meningkatkan konsistensi pasukan.

“Pertamanya saya sangat menghargai Coach Kim kerana beliau individu yang membawa saya ke Malaysia. Beliau hubungi saya, cuba meyakinkan saya untuk meninggalkan negara dan kelab saya untuk menyertainya mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia, hampir tiga tahun yang lalu.

“Memang agak sedih apabila beliau telah meninggalkan pasukan. Beliau individu yang memberikan saya sokongan penuh untuk menggalas tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ini.

“Terima kasih kepada Datuk Haji Hamidin kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini.

“Semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kita ini ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.

“Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.

“Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Datuk Haji Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik,” kata Pau Marti akhir sekali.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN