Dalam forum Face Off bersama Presiden FAM, Presiden PFAM, Hairuddin Omar mendedahkan masih banyak masalah tunggakan gaji pemain.
Antara aduan yang sedang mereka uruskan adalah aduan daripada pemain-pemain Kuantan FA yang tidak dibayar gaji sejak 11 bulan yang lalu.
Beliau sebelum itu memberitahu, pasukan ATM juga masih berhutang RM4 juta untuk gaji pemain mereka. Namun Hairuddin Omar menjelaskan, isu ATM adalah rumit.
Kenapa mereka masih tidak dikenakan sekatan perpindahan pemain? Ini kerana mereka membayar kontrak untuk borang A yang ditetapkan oleh FAM.
Manakala untuk kontrak borang B melibatkan pasukan dan pemain secara peribadi, ATM masih tertangguh banyak. PFAM sudah mengemukakan masalah ini kepada mahkamah sivil.
Namun hakim mahkamah sivil meminta agar kes ini diselesaikan di peringkat FAM. Hairuddin Omar berharap pihak FAM membantu mereka untuk memastikan kes ini dapat dibawa ke mahkamah sivil.
Berbalik kepada kes pemain Kuantan FA. Beberapa pemain mereka mengeluh gaji tidak masuk 11 bulan. Lagi teruk, mereka tidak mampu ke Kuala Lumpur untuk membuat aduan di pejabat PFAM kerana tidak ada duit.
Hairuddin Omar berkata:
“Terbaru, pemain Kuantan FA tidak dibayar gaji selama 11 bulan. Pemain nak datang untuk membuat aduan rasmi ke Pejabat PFAM di Kuala Lumpur pun mereka tak mampu.”
“Selepas ini, kami (PFAM) akan pergi ke Kuantan untuk membantu mereka.”
Beliau juga mahu peminat bola sepak tanah air faham akan tanggungjawab PFAM dalam menjaga kebajikan para pemain.
Untuk pemain yang tidak menerima gaji, mereka akan mengemukakan aduan kepada PFAM. Selepas butiran diteliti, PFAM akan menghantar surat minta penjelasan daripada pasukan, minta mereka menjelaskan kenapa gaji pemain tersebut tidak dibayar.
Surat pertama ini harus dibalas dalam masa 7 hari oleh pasukan dan kelab. Jika mereka gagal berbuat demikian, surat kedua akan dihantar.
Sekiranya pasukan tersebut gagal menjawab ataupun gagal memberikan alasan munasabah, PFAM akan mengeluarkan afidavit.