Bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar menceritakan bagaimana jurulatih Selangor iaitu B. Satiananthan menjadi salah seorang individu yang cukup penting dalam kariernya.
Bercerita menerusi Facebooknya, Hairuddin mendedahkan dalam ramai-ramai jurulatih pernah beliau berguru, Satianathanlah yang paling memberi kesan kepada dirinya.
“Saya berguru dengan ramai jurulatih hebat, ilmu mereka tidak ternilai. Tetapi B. Sathiananthan adalah jurulatih yang saya paling terkesan, yang telah mengubah hidup saya.”
Dalam masa yang sama, Hairuddin turut menceritakan sisi lain mengenai jurulatih itu yang tidak ramai tahu.
Katanya, Satiananthan pernah mendahulukan duit gajinya dengan nilai hingga ratusan ribu ringgit untuk diberikan kepada pemain-pemainya.
“Waktu saya bekerja di bawah Satiananthan, pasukan kami pernah mengalami masalah gaji. Ketika itu, beliau mendahulukan duit gajinya hingga ratusan ribu ringgit untuk pemain-pemainnya.”
“Beliau berbuat sedemikian kerana tidak mahu melihat pemain-pemainya hilang motivasi ketika datang latihan, kerana itulah tindakan itu dibuat untuk menaikkan semangat kami.”
Hairuddin juga berkata yang beliau sedar Satianathan tidaklah begitu digemari oleh penyokong ketika ini, namun begitu baginya jurulatih itu adalah cukup baik dan disenangi.
“Penyokong sering tidak berpuas hati kerana Satiananthan seolah-olah mencari alasan apabila pasukannya kalah. Sebenarnya tidak, sebaliknya beliau sedang melakukan psikologi songsang (reverse psychology) kepada pemainya.”
“Beliau tidak pernah menyalahkan pemainnya di depan media, sebaliknya mereka akan teruk kena dengan beliau sewaktu berhadapan secara satu lawan satu. Tetapi di luar, beliau ibarat bapa kepada pemain, cukup mengambil berat mengenai pemain.”