Quantcast

BERITA

Hafizul Hakim Akui Gugup Tetapi Gembira Dapat Nafikan Sepakan Penalti Hong Kong

Penjaga gol negara yang beraksi menentang Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 malam semalam, Hafizul Hakim Khairul Nizam mengakui beliau sedikit gugup untuk membuat penampilan kompetitif pertama bersama skuad kebangsaan.

Hafizul Hakim,24 tahun, menjadi wira skuad Harimau Malaya apabila berjaya menepis keluar sepakan penalti yang dilakukan Alessandro Leonardo bagi menghalang kemenangan pasukan lawan, seterusnya berjaya mendapatkan satu mata pada perlawanan yang dicemari dengan 2 layangan kad merah kepada Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd Radzak oleh pengadil dari Australia, Christopher Beath.

Ketika perlawanan dilihat hampir berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, Beath telah menghadiahkan sepakan penalti buat Hong Kong pada penghujung saingan. Keadaan yang membayangkan kekalahan kedua buat negara semakin jelas kelihatan.

Namun, Hafizul tidak membenarkan perkara itu berlaku apabila berjaya membuat agakan dengan tepat arah sepakan yang dilakukan Alessandro Leonardo dan sepakan susulan yang dilakukan pemain Hong Kong itu juga gagal menerjah gawang skuad negara.

Menurut sumber Goal.com, Hafizul hanya mengetahui beliau akan diturunkan Nelo Vingada beberapa jam sebelum perlawanan bermula kerana pilihan penjaga gol utama, Khairul Azhan Khalid yang demam sejak pulang dari Yangon masih belum pulih sepenuhnya.

“Petang tadi (Selasa) ketika kami mengadakan pertemuan pasukan (team meeting) sekitar jam 5 petang. Saya sudah bersedia untuk beraksi tetapi ini merupakan perlawanan pertandingan kompetitif pertama saya, sudah tentu saya sedikit gugup tetapi saya fikir segalanya akan berjalan lancar buat saya.”

“Saya fokus pada satu arah dan saya tetap dengan keputusan saya. Syukur pilihan saya betul dan mungkin ia adalah hari bertuah buat saya hari ini,” kata Hafizul Hakim selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan malam tadi juga, Hafizul bertindak cemerlang apabila beberapa kali menafikan percubaan dari pemain Hong Kong.

Hafizul menjadi sebahagian daripada pemain pasukan kebangsaan sejak akhir tahun lalu apabila beliau dipanggil oleh Datuk Ong Kim Swee untuk Piala AFF Suzuki 2016 .

Dalam saingan domestik, anak muda kelahiran Ipoh ini merupakan penjaga gol utama Perak serta mempunyai rekod 6 perlawanan tidak dibolosi dalam saingan Liga Super dan 2 perlawanan pada Piala Malaysia 2017.

Sumber :

Goal (Ooi Kin Fai) – http://www.goal.com/en-my/news/hafizul-admits-nerves-malaysia-hong-kong-asian-cup-qualifier/dzxymj2sathd1orse1pi2d1kb

Kredit foto : Arena Seladang

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!