Kelibat penyerang muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara sentiasa menjadi tumpuan memandangkan reputasinya yang sudah beberapa tahun berkelana di Jepun.
Pemain berusia 22 tahun itu antara nama yang disenaraikan untuk membantu skuad negara di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 yang akan bermula awal bulan depan.
Tiga tahun lalu, hasil kerjasama dengan Yakult Malaysia, beliau telah dihantar menyertai sesi latihan percubaan bersama dengan kelab J2 League, Fagiano Okayama dan kemudian telah ditawarkan kontrak jangka masa panjang.
Namun selepas semusim, Hadi Fayyadh belum berhasil untuk menembusi skuad utama dan gagal membuat sebarang kemunculan dalam aksi kompetitif.
Lalu beliau telah dipinjamkan ke kelab divisyen tiga Liga Bola Sepak Profesional Jepun, Azul Claro Numazu pada hujung musim 2020 bagi memberi peluang buatnya meraih lebih minit permainan.
Walaupun perancangannya adalah untuk memastikan Hadi Fayyadh mendapatkan pendedahan yang lebih baik, malangnya beliau telah mengalami kecederaan ACL pada lutut kanannya.
Hanya baru-baru ini sahaja beliau berkesempatan membuat penampilan pertamanya dalam aksi J3 League iaitu Liga Divisyen ketiga dalam sistem bola sepak negara matahari terbit tersebut.
Hadi Fayyadh is IN!!! 🔄
👤🇲🇾 The Malaysian player had his debut for Azul Claro Numazu in the 84th minute against Vanraure Hachinohe today.
© J.LEAGUE – All Rights Reserved #JLEAGUE pic.twitter.com/zNfCuSs0Cb
— J.LEAGUE Official (English) (@J_League_En) April 21, 2022
Penampilan tersebut menjadikan Hadi Fayyadh sebagai pemain Malaysia pertama yang turun beraksi secara rasmi dalam saingan J.League dan membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Vanraure Hachinohe.
Ini bermaksud, berdasarkan statistik di atas kertas, beliau mungkin agak ketinggalan dengan beberapa pemain muda negara lain yang sudah beraksi sekurang-kurangnya semusim dalam perlawanan kompetitif bersama kelab masing-masing di Liga Premier dan Liga Super.
Contohnya penyerang muda Selangor, Danial Asri merupakan penjaring gol tempatan terbanyak dengan tujuh gol di Liga Premier pada musim 2020 dan kemudian telah ‘dinaikkan pangkat’ ke skuad utama.
Musim lalu, pemain berusia 22 tahun ini terus membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan gol apabila diturunkan dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia.
Ini bermaksud, walaupun Hadi Fayyadh lebih mencuri tumpuan media sejak dipanggil menyertai skuad kendalian Brad Maloney, statistik menunjukkan bahawa ada pemain lain yang lebih layak untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Maka tugas berat menanti beliau untuk membuktikan bahawa tiga tahun di Jepun bukanlah satu tempoh yang ‘sia-sia’, tetapi ada hasil yang boleh dituai.
Perkelanaannya di bumi Jepun walaupun tidaklah semegah penyertaan Safawi Rasid ke Portimonense di Portugal dan Luqman Hakim Shamsudin ke KV Kortrijk di Belgium, beliau dilihat antara pemain yang paling kental bertahan di bumi asing selepas meninggalkan tanah air.
Seharusnya apa yang dipelajari di negara kuasa besar bola sepak Asia itu dibawa pulang untuk membantu negara kembali meraih pingat emas di Hanoi.