Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Hadi Fayyadh Abd Radzak mahu memberikan yang terbaik sepanjang menjalani sesi ujian bersama kelab divisyen 2 J-League, Roasso Kumamoto.
Beliau yang akan berangkat ke Jepun pada hari Ahad ini akan berada di sana selama 6 hari dan dijangka akan menyertai skuad sukan Asia di Indonesia jika mendapat panggilan.
“Saya begitu gembira apabila terpilih untuk menjalani latihan bersama Roasso Kumamoto di Jepun dan saya berterima kasih kepada pihak Yakult Malaysia yang membantu dalam urusan saya ke sana.
“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya, JDTII kerana memberi pelepasan untuk saya menjalani latihan di sana.
“Ini adalah satu pengalaman yang berharga dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh sepanjang tempoh latihan untuk mengutip sebanyak mana ilmu yang mungkin,” katanya kepada Berita Harian.
Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menjelaskan persembahan memberangsangkan yang diperagakan Hadi pada aksi Piala Sanix, Mac lalu berjaya menarik minat pasukan terbabit.
“Saya difahamkan pasukan terbabit berminat untuk memanggil Hadi menjalani latihan bersama selepas melihat mutu permainan Hadi semasa kami menaja pasukan Malaysia menyertai saingan Piala Sanix.
“Selain Hadi, mereka juga tertarik dengan persembahan beberapa pemain lain dan bersedia untuk memberikan peluang sama kepada beberapa pemain terbabit pada masa akan datang.
“Yakult Malaysia akan terus menyokong perkembangan pemain bola sepak Malaysia di Jepun dan akan membantu seramai mungkin bakat-bakat muda yang ada di Malaysia untuk diberikan peluang menimba pengalaman di Jepun,” katanya.
Sekiranya terpilih untuk bersama Roasso Kumamoto, Hadi Fayyadh dijangka akan didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukan sebagai pemain import. Ini adalah kerana J.League telah mengiktiraf pemain-pemain dari negara-negara yang mempunyai kerjasama 2 hala – J.League Nations Partner, tidak akan didaftarkan sebagai pemain import.
Roasso Kumamoto kini berada ditangga ke 21 saingan J2 League dengan 23 mata dari 26 perlawanan.