Negeri Sembilan boleh dikatakan telah membuat suatu keputusan yang sangat tepat untuk menandatangani khidmat pemain import baharu mereka pada jendela perpindahan kedua lalu.
Apa tidaknya, setakat ini penyerang mereka iaitu Gustavo Almeida boleh dikatakan sangat tajam di hadapan gol, setelah sebelum itu pasukan tersebut sedikit tumpul di bahagian serangan.
Hadir berpasangan bersama Yashir Pinto Islame, skuad kendalian K. Devan setakat ini berjaya memberi dimensi baharu pada corak permainan mereka yang dilihat sangat menyerlah dalam kalangan para penyokong.
Pemain yang berasal dari Brazil itu setakat ini sudah pun menyumbang enam gol secara keseluruhan buat pasukannya dan kini menjadi penjaring terbanyak Negeri Sembilan bersama seorang lagi rakan sepasukan, Mark Herold Goulon.
62' GOL | Gustavo dengan tenang menyudahkan hantaran Omid Nazari untuk gol kedua Negeri Sembilan!@pjcityfc 0-2 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/YV3qDmgTO2
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2022
Jelas Gustavo, beliau menganggap musim ini sebagai antara saat terbaik dalam karier bola sepaknya kerana berjaya membantu Negeri Sembilan menduduki carta ketiga, selain meneruskan momentum positif menerusi empat kemenangan berturut-turut.
“Rasa teruja kerana dapat jaringkan dua gol bagi membantu pasukan untuk memenangi perlawanan dan secara kebetulan, di padang ini juga saya ada jaringkan dua gol semasa menang 3-2 dengan Selangor.
“Mungkin ada tuah untuk saya apabila bermain di sini namun apa paling penting, saya dapat penuhi tugas yang diberikan dan harap pada perlawanan akan datang, saya akan terus konsisten untuk jaringkan gol.
“Memang ada rasa sedikit kecewa kerana saya hampir dapat meledak hatrik di penghujung perlawanan tetapi dihalang oleh pertahanan ketika bola hanya sedikit sahaja lagi untuk masuk ke gawang tetapi tidak mengapa, mungkin pada perlawanan lain saya boleh lakukan.
“Sasaran saya mahu cuba dapatkan lebih 10 jaringan di saingan Liga Super pada musim ini dan saya yakin boleh lakukannya selain membantu pasukan bagi meraih kedudukan di tangga kedua atau ketiga,” katanya menerusi MFL.
Gustavo sebenarnya bukan lagi nama asing dalam saingan bola sepak Malaysia, apabila beliau pernah menjadi tonggak utama buat UiTM FC pada dua musim lalu ketika beraksi di saingan Liga Super.
Sepanjang bersama kelab tersebut, Gustavo berjaya meledak enam gol keseluruhan dan membantu UiTM FC meraih kedudukan keenam terbaik Liga Super.
Setakat ini, penyerang tersebut tidak bermasalah untuk menyesuaikan diri dalam beberapa formasi diterapkan oleh K. Devan seperti 3-4-3 atau atau 3-5-2.
80' GOL | Sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee ditanduk masuk oleh Gustavo untuk gol penyamaan!@selangorfc 2-2 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/IuW2Fu6Lbw
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 31, 2022
Malah, Gustavo boleh menjadi ancaman yang cukup berbahaya sekiranya Negeri Sembilan mempunyai peluang menerusi situasi bola mati.
Pada masa sama, pengendali tersebut mengakui bukan sahaja Gustavo yang meningkatkan tahap pasukan setakat ini, malahan semua pemain berjaya menunjukkan disiplin terbaik di segenap posisi.
K. Devan juga jelas berharap agar konsistensi terbaik pasukan dapat dikekalkan untuk perlawanan akan datang, kerana selepas ini mereka bakal berhadapan cabaran Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
52' GOL | Gustavo memanfaatkan kesilapan penjaga gol untuk meletakkan Negeri Sembilan di depan!@nsfc1923 2-1 @FCTerengganu #LigaSuper2022 pic.twitter.com/BnvBCiYrnJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 27, 2022
“Pemain faham akan tanggungjawab mereka semasa kami melakukan serangan dan situasi bertahan selain kedudukan mereka di tangga ketiga juga memberikan motivasi untuk terus tampil bersemangat dalam tiap perlawanan.
“Saya berpuas hati dengan sumbangan semua pemain import seperti Gustavo dan Herold Goulon, begitu juga Omid Nazari yang meningkat persembahannya selepas saya meletakkan dia di posisi tengah selain pemain tempatan yang sentiasa bekerja keras.
“Kami akan melalui satu lagi perlawanan yang sukar iaitu bertemu KL City dan saya boleh katakan ini akan menjadi antara aksi paling sukar kerana lawan dalam situasi amat mahukan kemenangan.
“Bagaimanapun, saya yakin dengan kemampuan Negeri Sembilan yang berada di tahap keyakinan tertinggi pada masa sekarang malah mereka bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja,” katanya.