Jose Mourinho adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak Eropah apabila beliau berjaya mengemudi Porto dan Inter Milan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim 2003/04 dan 2009/10.
Bersama Chelsea, Real Madrid dan Manchester United, pengendali berusia 57 tahun kelahiran Portugal itu turut mengecapi beberapa nikmat kejuaraan yang terus memahatkan namanya sebagai antara pengurus berpengaruh di dunia.
Selepas dipecat oleh Manchester United pada Disember 2018, Mourinho kembali semula ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membimbing Tottenham Hotspur selepas Mauricio Pochettino disingkirkan kelab dari London Utara itu.
Namun, segalanya seperti tidak berada di landasan yang tepat buat Mourinho apabila kedudukan terakhir Tottenham selepas saingan EPL terpaksa dihentikan susulan wabak COVID-19, tidak begitu meyakinkan semua pihak.
Spurs pada ketika ini hanya menduduki tangga kelapan selepas hanya mengumpul 41 mata hasil 11 kemenangan, lapan keputusan seri dan 10 kekalahan dialami dalam 29 perlawanan yang dihadapi.
Skuad The Lilywhites juga terpaksa menelan kepahitan untuk melupakan saingan UCL dengan lebih awal apabila tunduk dengan aggregat 0-4 di tangan wakil Jerman, RB Leipzig.
Melihatkan kepada keadaan tersebut, bekas pemain tengah Tottenham, Gustavo Poyet melihat Jose Mourinho tidak wajar dipersalahkan berhubung masalah prestasi yang dihadapi, malah beliau beranggapan sesuatu perlu dilakukan terhadap pasukan ini.
”Saya merasakan ini adalah penghujung kepada era [Mauricio Pochettino], pengakhiran kepada proses tersebut.”
”Pada tempat-tempat tertentu, anda boleh menguruskan proses tersebut dengan perubahan secara perlahan. Sir Alex Ferguson seorang yang pakar dalam melakukan perkara itu.”
”Dia sentiasa mempunyai satu langkah ke hadapan untuk membenarkan pemain yang penting keluar meninggalkan pasukan dan menggantikannya dengan pemain lain,” ujar Poyet bercakap kepada Goal.
”Terdapat juga tempat lain di mana anda berpeluang untuk terus bersama pasukan sehingga akhirnya anda merasakan yang perlu mengubah segala-galanya. Saya merasakan Tottenham berada di tempat itu pada ketika ini. Ia membela setiap pengurus di seluruh dunia, tidak hanya Jose Mourinho.”
”Apabila anda menukar pengurus, ada sesuatu yang tidak betul. Masalah ini tidak hanya berkenaan dengan pengurus tetapi mereka mengubahnya kerana mereka tidak boleh mengubah 25 pemain. Orang ramai mengharapkannya dapat membuat sesuatu keajaiban.”
”Pemain kebiasaannya menggemari perubahan dan realiti akan kembali kepada pemain itu sendiri. Ia akan menjadi sesuatu yang penting pada hujung musim ini buat Spurs tetapi lebih-lebih lagi di pasaran pemain selepas ini. Saya merasakan mereka sudah mempunyai perancangan.”
Kredit foto: Michael Steele/Getty Images