Guardiola: Saya Akan Dianggap Gagal Di City Jika Tidak Menang UCL

Pep Guardiola mengatakan beliau akan dilihat sebagai seorang pengurus yang gagal sekiranya tidak berjaya membawa Manchester City menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bekas pengurus Barcelona itu telah pun memenangi lima kejuaraan sejak tiba di City pada 2016 termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2017/28 dan 2018/19.

Bagaimanapun, kejayaan di peringkat Eropah masih gagal dikecapi oleh Guardiola di mana kali terakhir beliau mengecapinya adalah pada 2011 ketika masih membimbing Barcelona.

“Musim lepas ramai orang mengatakan kami melalui musim yang hebat, tetapi kami tidak memenangi UCL. Itulah yang akan orang yang menilai saya,” katanya.

Sekiranya karier saya bersama City berakhir dengan kegagalan memenanginya, saya adalah seseorang yang gagal.”

City tidak berjaya melepasi peringkat suku akhir UCL di bawah Guardiola di mana mereka telah disingkarkan Monaco, Liverpool dan kemudian Tottenham Hostspur dalam tiga musim terakhir ini.

Ahad ini, Guardiola akan mengunjungi Stadium Tottenham buat kali pertama sejak tewas kepada Spurs dalam suku akhir pertama kejohanan UCL pada musim lepas.

Ketika itu, Tottenham masih dikendalikan oleh Mauricio Pochettino, tetapi sekarang pasukan tersebut sedang dibimbing oleh musuh lamanya ketika di La Liga, Jose Mourinho.

“Saya lihat perlawanan Tottenham ketika di Southampton dan mereka masih bermain dengan baik walaupun mereka melepaskan gol pada minit-minit akhir.

“Setiap jurulatih ada idea yang berbeza. kedua-dua mereka [Pochettino dan Mourinho] sangat hebat. Pochettino sudah berada di sana selama lima atau enam tahun sedangkan Mourinho pula baru tiga bulan.

“Jadi semua jurulatih perlukan masa untuk menjadikan pasukan tersebut bermain seperti mana yang mereka mahukan.”

Leave a Reply