Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mahu karier kejurulatihan yang dilaluinya dilengkapkan dengan kepulangan ke Barcelona sebelum bersara.
Namun tidak seperti yang kita semua fikirkan. Bukan skuad senior Barca yang dimaksudkan oleh Guardiola.
Sebaliknya jurulatih yang berasal dari Catalan itu mahu diberikan peluang sekali lagi untuk membimbing Barcelona B, di mana segalanya bermula buat beliau di dalam karier sebagai jurulatih.
Pengurus berusia 47 tahun itu adalah jurulatih Barcelona B pada 2007, sebelum dinaikkan pangkat untuk membimbing skuad utama Barcelona pada tahun berikutnya selepas pemergian Frank Rijkaard.
Guardiola kemudiannya membantu Barcelona menjuarai tiga kejuaraan La Liga, dua kejuaraan UEFA Champions League dan dua kejuaraan Club World Cups di dalam tempoh empat tahun.
Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu kemudiannya memilih untuk beralih angin untuk menyertai Bayern Munich, dan melalui kejayaan hampir serupa di Jerman.
Kini Guardiola memasuki musim ketiga bersama Manchester City. Harapan beliau sudah pasti ialah untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu, dan turut sudah membayangkan mahu kekal lama di England.
Namun sebagai seorang yang sentiasa melihat ke masa hadapan, Guardiola sudah pun mengimpikan persaraan yang beliau mahukan di masa hadapan.
“Pasukan saya akan cuba bermain seperti apa yang saya mahukan,” ujar Guardiola kepada Jorge Valdano dalam rancangan Universo Valdano.
“Saya mahu mengakhirinya di mana segalanya bermula. Langkah terakhir saya ialah untuk membimbing sebuah pasukan remaja. Saya harapkan ianya bersama Barcelona,” ujar beliau lagi.
Guardiola sebelum ini pernah menafikan dirinya berminat untuk kembali ke Nou Camp untuk skuad senior Barcelona. Namun pengurus itu turut dikaitkan dengan kepulangan ke gergasi Catalan itu sebahai Pengarah Sukan satu hari nanti.
Kontrak Guardiola bersama City pula hanya akan tamat selepas musim 2020/21.