Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui kelab lain pastinya akan bergolak apabila dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan juga Barcelona datang ‘mengganggu’.
Memetik laman News Straits Times, perkara itu adalah normal kerana kedua-dua kelab itu adalah jaguh sebenar dalam bola sepak Eropah.
“Real Madrid dan juga Barcelona mungkin adalah pasukan yang paling kuat dan berkuasa dari segi sejarah malah prestasi. Itu adalah perkara normal dan saya faham sepenuhnya.”
Guardiola berkata demikian selepas diminta memberi komen mengenai Raheem Sterling berkenaan Real Madrid.
Terdahulu, Sterling memberitahu kepada akhbar Sepanyol yang beliau mengagumi kelab seperti Real Madrid namun begitu tidak bercadang untuk menyertai pasukan itu.
“Semua kelab pastinya akan goyah apabila Real Madrid atau Barcelona datang mengetuk pintu.”
Menurut Guardola, beliau tidak risau akan situasi itu kerana dirinya tidak meragui akan komitmen Sterling terhadap pasukan Manchester City.
Beliau melihat komitmen diberikan Sterling setiap hari bermula dari saat pemain itu tiba ke Manchester City lagi.
Manchester City dan Real Madrid akan bertemu sesama sendiri dalam pusingan 16 pasukan terakhir UEFA Champions League minggu hadapan.