Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dilaporkan hilang sabar dengan sikap Benjamin Mendy kali ini.
Ini bukan pertama kali teguran terbuka oleh Guardiola terhadap pemain itu, tetapi selepas pemain antarbangsa Perancis itu lewat untuk menghadiri sesi rawatan pad Ahad lalu, Guardiola mungkin mulai berfikir mengenai masa depan pemain itu di Etihad.
Sebelum itu Mendy dilaporkan berada di Wembley pada malam Sabtu untuk menyaksikan aksi Anthony Joshua mempertahankan kejuaraan menentang Alexander Povetkin.
Beliau dijadualkan menjalani sesi rawatan untuk kecederaan yang dialaminya di pusat latihan City pada awal pagi Ahad, namun tiba hanya selepas tiga jam dari waktu yang sepatutnya.
Mendy mengalami kecederaan metatarsal, dan sudah terlepas beberapa perlawanan membabitkan Manchester City sebelum ini.
Pemain bek kiri yang menyertai City dari Monaco dengan nilai £52 juta pada musim lalu itu sudah pun terlepas majoriti aksi pada musim pertamanya di England akibat kecederaan ligamen.
Guardiola ketika sidang media untuk Manchester City menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini berkata:
“Mendy mengalami kecederaan enam, tujuh bulan pada musim lalu. Sekarang beliau cedera lagi. Setiap hari beliau menjalani proses rawatan.
“Beliau tiba lewat. Perkara sebegitu ada kalanya boleh berlaku. Sejak kebelakangan ini ramai yang lewat disebabkan kesesakan trafik.
“Bandar Manchester sedang dalam proses baik pulih, maka pemain tiba lewat. Mereka juga harus ke sekolah untuk menghantar anak,” kata Guardiola.
“Tetapi mereka sepatunya berada di sini, dan Mendy jelas mengenai perkara itu. Saya sudah bercakap dengan beliau mengenai hal ini.
“Saya mahukan beliau untuk beraksi apabila beliau kembali cergas. Sekarang beliau mengalami kecederaan. Ianya tidak ada masalah dengan keadaan fizikal. Mendy adalah pemain yang pantas.
“Masalahnya sekarang beliau cedera, dan apabila beliau sudah ok, beliau akan kembali menyertai pasukan,” ujar Guardiola.
Guardiola mungkin tidak memberikan amaran secara terang-terangan terhadap Mendy di hadapan umum. Namun melalui kenyataan di atas, jelas sekali Guardiola magu pemain itu bersikap lebih profesional di masa hadapan.