Kehadiran bintang Manchester City, Gabriel Jesus dan penyerang Liverpool, Roberto Firmino dalam senarai skuad Piala Dunia Brazil telah menarik perhatian Pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Guardiola berkata Brazil berdepan dilema untuk menyenaraikan sama ada Gabriel Jesus atau Firmino dalam kesebelasan utama kerana mereka mempunyai barisan pemain yang hebat.
Jesus menjaringkan 17 gol dalam kesemua kejohanan bersama juara Inggeris itu musim ini tatkala Firmino meledak 27 gol bagi membantu Liverpool menamatkan saingan di tangga keempat liga dan mara ke final Liga Juara-Juara.
Pengurus Brazil, Tite ketika mengumumkan skuadnya bagi aksi di Russia berkata Jesus yang sudah menjaringkan sembilan gol dalam 15 aksi di peringkat antarabangsa mampu mencabar tempat Firmino, 21 di Piala Dunia.
Guardiola, begitupun enggan memihak mana-mana pemain dengan berkata kedua-duanya mempunyai kualiti tersendiri.
“Brazil bertuah kerana mereka memiliki dua penyerang menakjubkan. Gabriel mempunyai tenaga, keinginannya cukup tinggi, pergerakannya… Saya fikir ia disebabkan oleh usianya, kata Guardiola.
“Firmino lebih berusia, sudah bermain di beberapa tempat. Saya boleh membayangkan apa yang boleh jadi terhadap Brazil di Piala Dunia ketika bertemu media.
“Jika kamu bermain satu perlawanan, kamu perlu bermain untuk satu lagi aksi, jika kamu bermain perlawanan lain, kamu perlu bermain yang ini. Ia adalah perbincangan yang tiada berkesudahan.
“Ia adalah masalah Tite, bukan saya. Tetapi ia adalah satu debat.”
City menyinar di bawah kendalian Guardiola musim ini dengan turut memecahkan pelbagai rekod ketika menjuarai saingan liga tetapi musim pertama bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu di England tidak berjalan dengan lancar.
“Musim lepas membantu kami untuk memahami banyak perkara, jadi kami menggunakannya pada musim ini,” kata Guardiola. “Orang biasanya percaya dengan jurulatih, tidak kira siapapun mereka, tiba di kelab dan perkara berjalan dengan baik. Tetapi bagi saya ia tidak seperti itu.”