Antoine Griezmann sebelum ini pernah berkata dia adalah yang terbaik di Eropah untuk musim lalu. Beliau juga seringkali memilih dirinya sendiri untuk senarai pemain terbaik setiap kali ditanya wartawan.
Antoine Griezmann memang mendapat perhatian dan undian daripada ramai peminat bola sepak untuk menyaingi anugerah pemain terbaik musim lalu.
Beliau menjadi instrumen penting membantu Atletico mara ke final UCL. Griezmann juga memenangi Anugerah Kasut Emas Piala Eropah 2016 selepas cemerlang membantu Perancis melangkah ke final kejohanan itu di bumi sendiri.
Namun kali ini beliau tidak menyenaraikan nama beliau walaupun untuk 3 terbaik. Sebaliknya Griezmann lebih terbuka untuk memilih 3 pemain selain daripada dirinya.
Ronaldo Nombor Satu, Messi Nombor Dua
Griezmann meletakkan Ronaldo sebagai no.1 untuk tahun 2016. Sebelum ini Ronaldo memenangi anugerah anjuran Goal.com sebagai pemain terbaik di antara 50 senarai pilihan mereka mengatasi Luis Suarez.
Griezmann turut meletakkan seteru Ronaldo, Lionel Messi sebagai nombor dua. Beliau tidak memilih Luis Suarez dalam senarai 3 teratas.
“Ronaldo nombor satu kerana beliau menang dua kejuaraan (major; UCL dan Piala Eropah 2016). Messi pula di tempat kedua kerana dia pemain yang unik.”
Ketika ditanya untuk pemain ketiga terbaik, Griezmann tidak ragu-ragu memilih penyerang ‘dongeng’ Inggeris, Jamie Vardy.
Ini kerana Jamie Vardy menjadi pemain penting dalam membantu pasukan bukan pilihan Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2015/16.
Sasar Jadi Pemain Terbaik Dunia Dalam 2 Tahun Lagi
Dalam anugerah Goal.com baru baru ini, Griezmann diletakkan di tangga ke-3 di atas Lionel Messi (ke-4) dan Gareth Bale (ke-5).
Beliau berkata:
“Ia sesuatu yang hebat untuk diletakkan setinggi ranking ke-3. Saya berharap tahun depan di tangga ke-2 dan menjadi nombor 1 dalam masa 2 tahun ini.”
Adakah anda rasa Griezmann mampu menjadi pemain terbaik dunia pada 2018?
Baca juga : 10 Senarai Pilihan Peminat Untuk Memenangi Anugerah Puskas