Graduan AMD Bakal Bertarung Dengan Pemain Import, Senior Dan ‘Sistem’ Pasukan

Sikh Izhan Nazrel Malaysia B-18 AMD

Tiga pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang juga pemain skuad B-18 negara telah mengesahkan pasukan Liga Malaysia yang bakal disertai mereka bermula musim hadapan.

Menurut laporan awal, terdapat 34 pelatih siri pertama AMD bakal memecah masuk ke pasaran Liga Malaysia dengan tiga pemain telah mengesahkan diri disunting iaitu Umar Hakeem Suhar Redzuan (Johor Darul Ta’zim), Ahmad Zikri Mohd Khalili dan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel pula memilih Selangor.

Ini merupakan graduan pertama AMD yang bakal mengharungi musim pertama mereka. Adakah mereka sudah bersedia untuk bersaing bersama pemain senior atau lebih tepat lagi bertarung dengan sistem pasukan yang mungkin ‘menyisihkan’ mereka?

Kogi, Dinesh, Haziq Nadzli dan Najmuddin

Bukanlah penulis mahu bersikap prejudis. Namun, sejauh mana pemain muda berbakat negara sebelum ini yang berpeluang menembus masuk ke skuad utama? Adakah masalah sikap punca kepada kehilangan bakat-bakat muda negara sebelum ini?

Penulis lebih mahu melihat kepada peluang yang diperolehi oleh pemain-pemain muda sebelum ini. Masih ingat impak gandingan R. Kogileswaran dan Najmuddin Samat tinggalkan dalam saingan Kejohanan AFC B16 pada 2014. Malaysia hampir layak ke Piala Dunia B-17, sebelum tewas 1-2 kepada Australia di suku akhir.

Selain sensasi yang dicipta gandingan Kogi dan Najmuddin, jangan dilupakan penjaga gol yang berjaya menafikan kemenangan Korea Selatan, ketika di pusingan kelayakan dengan kemenangan 2-0 iaitu Haziq Nadzli serta pertahanan kental, R. Dinesh.

Gandingan sensasi skuad B-16 satu masa dahulu, Kogileswaran (10) dan Najmuddin (7). FOTO: Shekhinah PR.

Kini majoriti pemain-pemain tersebut berusia sekitar 21 tahun. Di mana mereka ketika ini dan berjayakah mereka menembusi skuad utama yang bersaing di liga? Tidak dinafikan ada dikalangan mereka yang mengalami kecederaan berpanjangan seperti Najmuddin Samat, tetapi bagaimana nasib rakan-rakan lain?

Kebanyakkan pemain di usia itu, menjadi pilihan ketiga pasukan di belakang pemain senior dan pemain import. Inilah ‘sistem’ yang perlu ditembusi graduan AMD. Namun, jika mereka berpotensi, wajar dan tidak salah untuk diberikan peluang kepada mereka.

Skuad 2014 lebih berbakat

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar, skuad kendalian S. Balachandran pada 2014 jauh lebih berbakat jika dibandingkan dengan pelatih pertama AMD yang telah dilahirkan ketika ini.

Skuad AMD ketika ini ada acuannya tersendiri dan lebih kepada permainan berpasukan dan disiplin taktikal yang tinggi. Apa yang diterapkan oleh Lim Teong Kim adalah sentuhan ‘ala Jerman’.

Oleh itu, jika CEO NFDP sendiri mengakui kekuatan skuad 2014 dan melihatkan situasi mereka kini membuatkan penulis terfikir sejenak, bagaimana pula dengan nasib graduan pertama AMD selepas ini? Namun, dari segi lain, kelebihan pelatih AMD adalah mereka fasih dengan sebarang sistem taktikal yang diterapkan.

Pasukan-pasukan di liga hanya perlu memberikan peluang kepada pemain-pemain tersebut mendapat minit perlawanan. Ini bakal menambah kepada mereka pengalaman perlawanan dan bersaing bersama pemain lebih berumur serta pemain-pemain import.

Ekanit Panya Chiangrai United
Ekanit Panya. FOTO: Bangkok Post

Masih ingat bagaimana kelab di Thai League telah memberikan pemain semuda 15 tahun untuk beraksi di saingan liga mereka? Boleh baca artikel ini untuk mengetahui kelebihan Ekanit Panya, pemain yang mula membuat debut di liga pada usia 15 tahun.

Minit perlawanan dan peluang

Ini adalah perkara penting kepada perkembangan pemain muda. Pendedahan bermain dalam perlawanan kompetitif membantu mereka untuk bermain dengan lebih matang, sebagaimana kita lihat dalam permainan pemain sayap, Ekanit Panya, tempohari.

R. Kogileswaran pernah bersuara ketika Pahang melalui masalah penyerang pada pertengahan tahun yang lalu. Pemain yang kini berusia 21 tahun itu berharap akan ada peluang daripada ketua jurulatih, Dollah Salleh, untuknya bersama skuad utama Pahang.

Mula menyertai Pahang pada 2016, seharusnya Kogi telah menjadi antara tonggak Tok Gajah ketika ini, jika diberikan peluang secara teratur sejak usia muda. Kini, Kogileswaran bukanlah pilihan utama dan kedua, malah seakan-akan hanya pelengkap senarai pemain.

Norshahrul Idlan, Kogileswaran
Norshahrul Idlan Talaha dan R. Kogileswaran. FOTO: Pahang FA

Untuk rekod, dalam saingan Liga Super 2019, pemain yang penuh dengan potensi di usia mudanya itu hanya mengumpul 114 minit perlawanan sepanjang 22 perlawanan liga – dengan hanya 5 kali membuat penampilan bersama Pahang pada musim ini.

Bagaimana pula nasib pemain-pemain yang pernah sebaris dengan Kogileswaran, Najmuddin Samat, R. Dinesh dan Haziq Nadzli ketika ini? Diharapkan untuk musim 2020 nanti, mereka bakal menyerlah seperti ketika bersama skuad B-16 negara, satu masa dahulu.

Penutup

Destinasi yang bakal dipilih oleh graduan AMD mestilah memenuhi kehendak mereka. Pada usia yang bakal menjengah ke-19 tahun, wajar mereka memikirkan potensi mereka untuk memecah masuk ke skuad utama ataupun menjadi sandaran kepada skuad utama.

Jika hanya menyertai pasukan untuk sekadar memanaskan bangku simpanan, perlu difikirkan solusi lain untuk mereka mendapat minit perlawanan. Ataupun hanya beraksi di saingan Piala Belia atau Piala Presiden, ia masih dianggap baik namun harus ada dalam kontrak mereka, ganjaran ke skuad utama, jika prestasi mereka menyerlah.

Dengan dikatakan terdapat tiga, empat tawaran untuk seorang graduan AMD ketika ini, peluang pemilihan masa depan mereka berada di tangan mereka. Jika boleh tawar menawar, mintalah persetujuan agar ada peluang untuk mendapat minit perlawanan, jika mereka bersetuju untuk menyarung jersi pasukan tersebut.

Kredit Featured Image: Youtube

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN