Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain secara rasminya telah mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa.
Beliau menegaskan keputusan itu dibuat adalah untuk memberikan lebih tumpuan terhadap keluarganya.
Kali terakhir Higuain beraksi dalam pentas antarabangsa adalah pada pertemuan menentang Nigeria dalam saingan kumpulan D Piala Dunia 2018 pada Jun lalu.
”Masa saya bersama Argentina sudah berakhir. Memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya, karier saya (pentas antarabangsa) sudah berakhir.”
”Untuk kegembiraan banyak pihak, saya hanya menyaksikannya daripada luar. Saya telah bercakap dengan (Lionel) Scaloni dan memberitahunya mengenai pandangan saya.”
”Saya membuat keputusan ini kerana untuk menikmati masa bersama keluarga, saya mahu meluangkan masa dengan anak perempuan saya dan pada masa yang sama, saya merasakan telah memberikan segala yang termampu buat negara saya (Argentina).”
Dalam pada itu, Higuain yang dipinjamkan ke Chelsea daripada Juventus mahu memfokuskan sepenuh komitmen terhadap kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
”Saya memberikan tumpuan penuh komitmen terhadap Chelsea.”
”Liga Perdana Inggeris amat menakjubkan dan saya sangat sukakannya. Ia sangat kompetitif.”
Sepanjang bersama Argentina, Gonzalo Higuain telah membuat 75 penampilan dan berjaya menjaringkan 31 gol buat skuad Albiceleste.