Gonzalo Higuain: Saya Akan Fikirkan Untuk Bersara Di River Plate

Gonzalo Higuain

Penyerang Juventus, Gonzalo Higuain mengakui akan memikirkan untuk menamatkan karier bola sepak profesional bersama kelab yang bertanggungjawab menaikkan namanya iaitu River Plate.

River Plate bukanlah asing bagi Higuain kerana beliau sememangnya merupakan ‘graduan’ kelab saingan Primera Division Argentina itu meskipun dilahirkan di Perancis. Bersama sejak tahun 1997, Higuain telah diserapkan ke skuad utama La Banda itu pada musim 2004/05.

Hanya selepas tiga musim, kualiti hebat dimiliki penyerang yang kini berusia 32 tahun itu telah menarik minat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid untuk membawanya ke Santiago Bernabeu dengan yuran perpindahan bernilai €12 juta.

Selain Real Madrid, Higuain turut pernah menjadi sandaran buat pasukan-pasukan ternama seperti SS Napoli, Juventus dan turut dipinjamkan ke Chelsea dan AC Milan sebelum kembali semula menjadi pilihan di Turin selepas Maurizio Sarri membimbing kelab tersebut.

Ketika ditanya TyC Sports menurut sumber Goal mengenai adakah peluang untuk melihat beliau kembali semula ke Argentina bagi menyertai River Plate, ini adalah respon dari Higuain:

Embed from Getty Images

”River [Plate] adalah kelab di mana memberikan saya segala-galanya, dari membiarkan saya berkembang kepada menarik minat Real Madrid untuk mendapatkan saya, tetapi pada ketika ini saya tidak mengetahui apa yang bakal terjadi. Fikiran saya masih di sini [Turin].”

”Skuad bimbingan [Marcelo] Gallardo sangat menarik, mereka mempunyai kualiti, kekuatan dan segalanya.”

”Gallardo telah menarik perhatian ramai orang dan dia memperolehinya. Saya akan memikirkan untuk kembali ke River dan menamatkan karier di sana,” ujar Higuain lagi.

Hampir 18 tahun beraksi di kancah bola sepak profesional, Higuain telah berjaya membuat 630 penampilan dan menjaringkan 303 gol dalam semua pertandingan yang disertai di peringkat kelab.

Antara kejayaan yang pernah diraihnya adalah muncul juara La Liga sebanyak tiga kali bersama Real Madrid dan juga memenangi Serie A musim 2016/17 dan 2017/18.

Kredit featured image: Valerio Pennicino – Juventus FC/Juventus FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Gonzalo Higuain:

Leave a Reply