Penyerang Chelsea, Gonzalo Higuain mengakui makin bimbang bakal kehilangan rakan sepasukan, Eden Hazard ketika rundingan kontrak baharu antara bintang Belgium itu dengan pengurusan kelab masih belum menemui titik noktah.
Chelsea berkemungkinan besar akan kehilangan khidmat Hazard berikutan pemain itu enggan menandatangani lanjutan kontrak dan dilaporkan bertekad mahu berhijrah ke Real Madrid.
Spekulasi mengenai masa depan Hazard di Stamford Bridge mula hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu tetapi kepulangan semula Zinedine Zidane ke Real Madrid menguatkan lagi dakwaan beliau akan meninggalkan Chelsea.
Akhbar berpangkalan di Madrid, Marca melaporkan satu rundingan bersama sudah dijalankan dengan Hazard bersetuju untuk mengikat kontrak bersama Los Blancos selama lima tahun.
Namun kesahihan berita itu masih belum terbukti kerana belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan kedua-dua pihak mengenai perkara tersebut.
Pemain penting
Sebagai rakan sepasukan, Higuain pasti berharap Hazard membuat keputusan untuk terus kekal bersama The Blues kerana Chelsea akan kerugian besar jika mereka kehilangan pemain tersebut.
“Apabila pemain mempunyai hasrat, sangat sukar untuk mengubah fikiran mereka.”
“Dia [Eden Hazard] adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Anda semua dapat melihat tahap permainan dan bagaimana dia terus memberikan mata kepada pasukan ini.”
“Dia sentiasa memberikan pasukan ini mata dan sejujurnya dia merupakan aset yang berharga untuk pasukan ini,” kata Higuain dipetik menerusi Sky Sports.
Antara Hazard dengan pengurusan
Higuain bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah bercakap dengan Hazard mengenai perpindahan ke kelab lain, apatah lagi memujuknya untuk kekal bersama pasukan.
Bagi Higuain, situasi tersebut adalah privasi antara pemain [Hazard] dan pihak pengurus, justeru beliau tidak mahu terbabit dengan perbincangan itu.
“Apa yang boleh saya katakan? Inilah adalah urusan pegawai kelab dan pemain.”
“Sekarang masalahnya berada dalam keputusan Lembaga Pengarah dan juga keputusan Eden. Saya tidak boleh melakukan apa-apa pada situasi ini.”
“Dia tidak pernah bertanya kepada saya tentang kehidupan di Real Madrid, tetapi saya mendoakan segala keputusan yang membuatkan dirinya bahagia. Tetapi saya sendiri berharap dia bertahan.”