Penyerang sayap kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera sah tidak akan bersama JDT untuk musim 2022.
Perkara itu dinyatakan melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh laman rasmi kelab itu sebentar tadi.
“Terima kasih Gonzalo Cabrera. Ia merupakan sebuah pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh laman rasmi kelab itu di rangkaian media sosial sebentar tadi.
Gonzalo Cabrera telah beraksi bersama JDT sejak 2017, dan sejak itu telah tampil sebagai salah seorang pemain import paling konsisten pernah mewarnai Liga Malaysia.
Pemain import paling berjaya di Liga Malaysia
Sepanjang beraksi bersama JDT, Cabrera adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman jaguh dari selatan tanah air itu, dan telah menghasilkan 43 gol di saingan Liga Super Malaysia (MSL).
Secara keseluruhan, pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan 66 gol daripada 152 penampilan yang dilakukannya bersama skuad Harimau Selatan.
It's been a memorable adventure together, winning all those trophies and scoring plenty of goals to become Johor Darul Ta'zim FC's (JDT) all time Malaysia Super League (43 goals) and All Competitions (66) top scorer in 152 appearances since 2017.
[1/2] pic.twitter.com/oARnYw95Ez
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 13, 2021
Daripada 2017 sehingga 2021, Cabrera juga tampil sebagai salah seorang pemain import paling berjaya di dalam sejarah Liga Malaysia apabila turut meraih lima kejuaraan Liga Super, 4 Piala Sumbangsih, dan dua kejuaraan Piala Malaysia.
“Sudah tiba masanya untuk berpisah tetapi ianya merupakan penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” ujar kenyataan tersebut lagi.
Pengumuman mengejutkan?
Keputusan JDT untuk berpisah dengan Cabrera sebenarnya agak mengejutkan. Ini kerana selepas lima musim beraksi bersama JDT, Cabrera sering dicanang akan dinaturalisasikan untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Perkara itu kini tidak akan menjadi kenyataan melainkan Cabrera menyertai mana-mana pasukan lain di saingan Liga Malaysia, dan dinaturalisasikan oleh kelab baharu beliau selepas ini.
Dengan kemampuan dan rekod cemerlang dimilikinya, Cabrera yang memiliki passport Iraq tidak akan menjadi masalah untuk mendapatkan kelab baharu di Liga Malaysia, dan boleh mengisi slot import untuk pemain Asia.