Juventus hampir-hampir diikat oleh SPAL 2013 (SPAL) awal pagi tadi tetapi bernasib baik selepas gol penyamaan SPAL dibatalkan oleh pengadil. Juventus menang 4-1 dalam perlawanan yang menyaksikan Federico Bernardeschi menjaringkan golazo.
Bernardeschi yang jarang-jarang bermula dari kesebelasan utama pada musim ini selepas berhijrah Fiorentina membuka jaringan melalui rembatan voli kaki kiri yang melepasi jangkauan penjaga gol SPAL, Alfred Gomis.
Juventus memulakan perlawanan ini tanpa beberapa pemain utama mereka. Mario Mandzukic yang dibuang padang ketika kemenangan 6-2 Juventus ke atas Udinese turut disertai oleh Blaise Matuidi, Stefano Sturaro, Medhi Benatia, Marko Pjaca dan Benedikt Howedes yang cedera.
Sementara itu, Claudio Marchisio dan Mattia De Sciglio pula sekadar bermula dari bangku simpanan. Gianluigi Buffon dan Giorgio Chiellini pula direhatkan.
Selepas gol Bernadeschi itu, Paulo Dybala kemudiannya menjaringkan gol trademark beliau dari sepakan percuma.
SPAL cuba bangkit menerusi gol Alberto Paloschi. Pada hujung separuh masa pertama, Paloschi sekali lagi mengancam pintu gol Juventus dengan menggegar palang hasil percubaan dari sepakan sudut.
Rakan sepasukannya, Marios Oikonomou berjaya menjaringkan gol hasil lantunan bola tersebut. Tetapi – nasib baik untuk Juventus – gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid.
Juventus segera bangkit selepas ancaman SPAL tersebut. Hasilnya Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado berjaya melebarkan jurang gol untuk membolehkan the Bianconeri menang 4-1.
JuveSpal from Ahmad Muzammil on Vimeo.