Gol Yusuke Taguma Bantu PJ Level Up FC Tamatkan Badi 3 Kekalahan Berturut-turut

Selepas gagal untuk meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut, PJ Level Up FC boleh menarik nafas lega apabila menewaskan Shah Alam Condoh FC 1-0 dalam aksi kumpulan A Selangor Champions League 2017 di Stadium Panasonic Shah Alam semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import tengah PJ Level Up dari Jepun, Yusuke Taguma.

Perlawanan yang sudah memasuki minggu ke-5 kejohanan ini menyaksikan PJ Level Up turun tanpa dua tonggak utama mereka, Tarik Hussien akibat kecederaan dan C. Mahadevan atas urusan kerja.

Manakala Shah Alam Condoh seperti biasa menurunkan pemain-pemain utama mereka dengan kelibat pertahanan tengah hebat, As’syaqireen Hasnoddin serta Faez ‘Neymar’ Mahmuddin kelihatan.

Berbeza dengan 3 perlawanan sebelum ini di mana mereka memulakan perlawanan dengan mentaliti menyerang, kali ini PJ Level Up menggunakan formasi 5-3-2 dengan harapan untuk menyerap serangan Shah Alam Condoh pula.

Dengan mentaliti yang sedikit defensif ini, PJ Level Up dapat menyerang balas Shah Alam Condoh melalui kelajuan T. Subhramani dan Matthew Devaraj.

Shah Alam Condoh yang bermain dengan formasi 4-3-3 diberi ruang besar untuk menguasai bahagian tengah padang. Tetapi sebaik sahaja bola memasuki kawasan final third, 3 pertahanan PJ Level Up kental bertahan sebelum melancarkan serangan balas yang pantas.

Hasilnya PJ Level Up terlebih dahulu mendapat peluang pada minit-minit awal permainan. Namun peluang tersebut gagal disudahkan oleh Matthew Devaraj.

Pada minit ke-25, giliran Shah Alam Condoh pula menguji gawang gol PJ Level Up melalui satu tandukan ayam tambatan mereka, As’syaqireen Hasnoddin dari sepakan sudut. Namun tandukan As’syaqireen sedikit tersasar.

Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dalam usaha untuk mencari jaringan pembukaan. Namun barisan pertahanan kedua-dua pasukan ini cemerlang menafikan percubaan demi percubaan yang dilakukan.

Kesungguhan PJ Level Up untuk menyerang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 apabila Yusuke Taguma bijak menggelecek 2 pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri yang terus menewaskan penjaga gol Shah Alam Condoh.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Shah Alam Condoh cuba bangkit mencari jaringan penyamaan.

Terutamanya apabila masuk babak kedua. Ketika inilah Shah Alam Condoh dilihat lebih agresif menyerang pintu gol PJ Level Up dalam usaha untuk menyamakan kedudukan.

Usaha mereka hampir-hampir membuahkan hasil apabila dihadiahkan peluang keemasan pada minit ke-46. Namun seperti peluang-peluang lain sebelum ini, ia gagal ditanduk kemas pemain Shah Alam Condoh.

PJ Level UP juga seringkali melakukan serangan-serangan berbahaya ke atas barisan pertahanan Shah Alam Condoh. Namun barisan pertahanan mereka yang diketuai As’syaqireen dilihat agak sedikit sukar untuk digugat berbanding separuh masa pertama.

Ketinggalan 0-1 jelas memberi tekanan kepada pasukan Shah Alam Condoh secara mental dan fizikal. Dan ianya terbukti apabila berlaku pergaduhan di antara pemain Shah Alam Condoh serta PJ Level Up yang menyaksikan pengadil melayangkan kad kuning kepada As’syaqireen.

Tiada jaringan penambahan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat perlawanan. Dengan kemenangan ini, PJ Level Up menghidupkan kembali peluang mereka untuk menduduki empat tangga teratas kumpulan A.

Yusuke Taguma pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Manakala bagi Shah Alam Condoh, keputusan ini pastinya mengecewakan mereka selepas berjaya mencatat 2 kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Statistik perlawanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN