Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Bercakap tentang Cheick Tiote, nama beliau paling diingati oleh penyokong Newcastle dan Arsenal (mungkin juga oleh peminat Premier League) yang menyaksikan peristiwa pada 5 Februari 2011.
Arsenal pada ketika itu bukanlah Arsenal sekarang ini. Sebagai persiapan musim 2010/2011 tersebut, Marouane Chamakh dan Sébastien Squillaci adalah pemain ‘paling berprofil tinggi’ yang ditandatangani Arsenal.
Arsene Wenger turut membeli Laurent Koscielny pada ketika itu. Tetapi pada ketika itu, tiada siapa tahu betapa bagusnya beliau.
Melawat Newcastle di St. James Park pada bulan Februari, Arsenal pada ketika itu menduduki tangga ke-2 liga di belakang Manchester United. Prestasi mereka juga baik – mencatat 4 kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir.
Newcastle pula menduduki tangga ke-10 liga. Prestasi mereka juga agak menurun – seri 2 dan kalah sekali dalam 3 perlawanan terakhir.
Jelas sekali Arsenal adalah pasukan pilihan.
Pada separuh masa pertama, Arsenal menepati status pasukan pilihan mereka apabila selesa mendahului tuan rumah 4-0 semasa separuh masa pertama.
Tetapi masuk separuh masa kedua, Arsenal masuk ke perangkap psikologi Newcastle. Terutamanya Abou Diaby yang di-psiko oleh Joey Barton. Diaby diberi kad merah. Arsenal bermain dengan 10 orang. Ketika inilah Newcastle memulakan kebangkitan mereka.
Penalti minit ke-68 yang diperolehi Newcastle dan disempurnakan oleh Barton menguji kecekalan mental Arsenal. Selang 7 minit kemudian, Leon Best menjaringkan gol ke-2 Newcastle.
Belum sempat Koscielny dan Squilacci menenangkan diri, Newcastle memperolehi penalti sekali lagi pada minit 83′ yang disempurnakan Barton. Secara tiba-tiba Arsenal nampak seperti pasukan paling goyah walaupun mendahului 4-3.
Ketika perlawanan sedang menuju ke penghujung, Tuhan mentakdirkan clearance daripada sepakan percuma sebelah kanan Barton singgah ke kaki Tiote. Selepas itu, ini yang terjadi…
Sejak gol ini, Tiote menjadi cult hero kepada penyokong Newcastle United. Gol pemain tengah Ivory Coast ini menjadi simbol kelemahan mental Arsenal pada ketika itu.
Dan paling penting, ia juga menjadi sebab utama mengapa Premier League adalah liga paling banyak disaksikan di dunia. Ia sangat-sangat menarik dan tak boleh dijangka!