Lima minit pertama perlawanan, segalanya kelihatan tenang dengan corak permainan berhati-hati kedua-dua pasukan.
Minit ke-7, Dele Alli berjaya melakukan lorongan di celah-celah pertahanan Sweden, namun ia terlampau kuat untuk dikejar oleh Harry Kane.
Manakala Sweden selepas itu cuba mengancam dengan hantaran-hantaran tinggi, namun turut gagal memberikan sebarang ancaman.
Tatkala Sweden lebih banyak memiliki penguasaan bola, larian lincah Sterling pada minit ke-19 hampir membuahkan hasil, sebelum rembatan rendah dari luar kotak penalti oleh Kane sedikit sipi di sebelah kanan gawang.
Selepas 30 minit perlawanan berlangsung, England akhirnya berada di hadapan setelah Harry Maguire menanduk masuk sepakan penjuru Ashley Young untuk skuad kendalian Gareth Southgate mendahului 1-0.
Sterling berhadapan situasi satu lawan satu pada minit akhir pemainan babak pertama, namun gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki.
Babak pertama perlawanan akhirnya berakhir dengan England mendahului perlawanan 1-0.
Bermula separuh masa kedua, Sweden tidak membuang masa untuk melakukan ancaman awal.
Pada minit ke-47, Jordan Picford bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan penyerang Sweden, Marcus Berg.
Minit ke-54 pula menyaksikan sepakan gunting Sterling tidak menepati sasaran sebelum percubaan Jesse Lingard dari luar kotak penalti dihadang keluar pemain pertahanan Sweden.
Lima minit kemudian, England terus menghukum kesilapan benteng Sweden apabila Dele Alli menanduk masuk dari jarak dekat, menyempurnakan hantaran yang cukup sempurna dari Jesse Lingard.
Sweden hampir berjaya mendekatkan kedudukan pada minit ke-63 perlawanan, namun percubaan oleh Claesson berjaya dihadang oleh Jordan Henderson.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun kedudukan tetap tidak berubah sehingga wisel penamat.
England layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018, menewaskan Sweden 2-0.