Perbuatan ini merupakan satu tindakan terpuji dari pemain berkelas dunia!
2 bintang Amerika Selatan iaitu Lionel Messi dan juga Neymar telah bergabung dalam satu misi untuk memerangi isu kelaparan di benua tersebut dan juga benua Caribbean.
Dalam sebuah program amal anjuran MasterCard, setiap kali Messi atau Neymar menjaringkan gol dalam mana-mana kejohanan rasmi sumbangan 10 ribu makanan akan diberikan kepada United Nations World Food Program (WFP).
Sumbangan makanan tersebut akan diberikan kepada kanak-kanak di setiap sekolah di Amerika Selatan dan juga Caribbean.
Jadi 1 gol yang dijaringkan oleh Messi atau Neymar bersamaan dengan 10 ribu makanan percuma untuk kanak-kanak di 2 benua tersebut. Menarik!
Kempen ini akan bermula pada kejohanan rasmi yang akan bermula tak lama lagi iaitu di Piala Dunia 2018.
Messi jelas gembira untuk menjadi sebahagian dari program amal yang menarik ini.
“Saya cukup berbangga untuk menjadi sebahagian daripada kempen ini.”
“Ia dapat mengubah hidup ramai kanak-kanak dan saya berharap saya dapat hasilkan sebanyak mungkin senyuman.”
Bagi Neymar pula, beliau menyifatkan dirinya sangat gembira dapat bersama-sama memerangi kelaparan dalam kalangan kanak-kanak.
“Kami ingin memastikan kanak-kanak di rantau ini dapat menikmati sepinggan makanan dan lebih banyak harapan.”
“Bersama, kita dapat perangi isu kelaparan ini.”
Menurut wakil MasterCard, isu kelaparan di rantau Amerika Selatan dan Caribbean telah memberi kesan kepada 40 juta orang yang majoritinya terdiri daripada kanak-kanak.
Diharap dengan kempen ini dapat memberikan manfaat kepada semua yang terlibat.