Semuanya bermula dari hantaran diagonal Leonardo Bonucci ke Alex Sandro di sayap kiri.
Dari Alex Sandro, bola dipindahkan ke Gonzalo Higuain yang mendada dan menguisnya ke arah dada Mario Mandzukic – sebelum disudahkan dengan sepakan akrobatik kaki kanan penyerang Croatia itu.
Ia adalah antara gol paling cantik pernah kami lihat. Sebelum tendangan Mandzukic menerjah ke jaring, bola langsung tidak mendarat ke tanah!
Paling manis, kami menyaksikan dan meraikan gol tersebut secara langsung (melalui layar besar) bersama ratusan ahli rasmi kelab penyokong Juventus Malaysia di Subang Jaya pada 3 Jun 2017 lepas.
Kami meraikan gol tersebut bukan kerana kami menyokong Juventus. Sebaliknya kami meraikan golazo tersebut kerana ia saat penuh magis buat mana-mana peminat bola sepak.
Dan apabila UEFA mengumumkan gol Madzukic tersebut sebagai gol terbaik UEFA musim 2016/2017, ia jelas satu keputusan yang tepat dan tidak dapat dipertikaikan lagi.
🎉 WINNER 🎉@MarioMandzukic9 wins the 16/17 UEFA #GoalOfTheSeason award! 🏆👏
📺⬇️ Watch his golazo ⚽️🔥😮https://t.co/920sAgP107
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) August 29, 2017
Jika anda melihat semula video gol tersebut, Real Madrid – yang beraksi cemerlang pada malam itu – langsung tidak membuat apa-apa kesilapan sebelum Mandzukic menjaringkan gol tersebut.
Kepadatan unit tengah dan pertahanan Real Madrid di tengah membuatkan Bonucci ‘terpaksa’ memindahkan bola ke kawasan sayap kiri. Dari segi teori, ia sudah cukup untuk membuatkan serangan Juventus tersebut mudah dipatahkan oleh Madrid.
Tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Bagaikan sudah ditakdirkan Tuhan, gol tersebut berlaku – walaupun Real Madrid tidak membuat apa-apa kesilapan taktikal atau teknikal.
Pencabar gol Mandzukic
Seingat kami, satu-satunya gol dalam kejohanan anjuran UEFA pada musim 2016/2017 yang mungkin ada merit untuk mencabar gol Mandzukic dalam anugerah ini adalah gol Cenk Tosun (Besiktas) ini ketika menentang Benfica.
Tetapi memandangkan magnitud perlawanan akhir UEFA Champions League jauh lebih tinggi berbanding perlawanan kumpulan, kami tetap memilih gol Mandzukic sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik UEFA.
Kekalahan Juventus dirai di Itali
Sebagai rekod, Juventus tewas 1-4 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir UEFA Champions League 2016/2017 ini.
2 gol daripada Cristiano Ronaldo dan satu oleh Casemiro dan Marco Asensio membolehkan Madrid menjadi pasukan pertama dalam sejarah yang berjaya mempertahankan gelaran juara UEFA Champions League.
Kekalahan Juventus ini mungkin diratapi oleh penyokong Juventus. Tetapi bagi penyokong kelab-kelab selain Juventus di Itali, kekalahan Juventus ini menjadi bahan tawa mereka.
2 penyokong AC Milan ini contohnya, menyarung jersi ini untuk menyambut kekalahan Juventus dalam final tersebut.
Sementara itu penyokong Internazionale ini pula mengabadikan nama Cardiff (tempat perlawanan final ini berlangsung) di jersi kelabnya.
Di mana anda berada ketika Mario Mandzukic menjaringkan golazo ini? Kongsikan bersama kami di ruangan komen!