Everton kini berada dalam tekanan. Sebelum perlawnaan ini, mereka telah pun tewas dalam perlawanan UEFA Europa League di mana pengurus mereka, Ronald Koeman dengan secara tak profesionalnya menyalahkan pengadil sebagai punca tercetusnya insiden pergaduhan perlawanan.
Dalam aksi Premier League di Goodison Park sebentar tadi, mereka tewas lagi. Kali ini mereka mudah dibelasah Arsenal 2-5.
Everton bermula dengan baik dalam perlawanan tersebut apabila Wayne Rooney membuka tirai jaringan dengan gol jarak jauh pada minit ke-12. Gol tersebut mirip gol yang beliau jaringkan ketika masih berusia 16 tahun pada tahun 2002.
Namun gol Nacho Monreal memastikan Arsenal masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-1 sebelum rehat.
Pada separuh masa pertama, Jordan Pickford dipaksa melakukan 8 percubaan menyelamat – angka yang sangat tinggi. Jika tidak kerana Pickford, Everton mungkin akan ketinggalan dengan jumlah jaringan lebih besar pada rehat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Mesut Ozil yang kali pertama digandingkan bersama Alexis Sanchez dan Alexandre Lacazette pada musim ini menjaringkan gol minit ke-53.
Situasi menjadi bertambah buruk buat Everton kemudiannya apabila terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Idrissa Gueye dilayangkan kad merah pada minit ke-63.
Arsenal kemudiannya meningkatkan lagi dominasi mereka. Alexandre Lacazette menjaringkan gol ke-3 Arsenal pada minit ke-74 sebelum Aaron Ramsey dan Alexis Sanchez menambah 2 gol lewat perlawanan.
Sebelum gol Sanchez, Oumar Niasse menjaringkan gol ke-2 Everton minit ke-93 masa kecederaan.
Kemenangan ini begitu bererti buat pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang meraikan hari lahir beliau ke-68 pada hari ini. Bagi penyokong Arsenal, komitmen dan prestasi baik Mesut Ozil pada perlawanan ini pastinya melegakan mereka selepas akhbar UK melaporkan perancang Jerman ini mahu berhijrah ke Manchester United.
Bagi Everton, hanya Jordan Pickford yang boleh dibanggakan oleh mereka. Pemain bernilai £45 juta, Gylfi Sigurdsson bermain dengan begitu teruk sekali.
Selepas berbelanja sangat besar pada awal musim, Ronald Koeman berada dalam tekanan untuk mengubah nasib pasukannya.
Dengan penyokong Everton yang sudah mula bersorak ‘Taxi for Koeman’ (isyarat mereka yang menyuruh Koeman untuk pulang), Koeman perlu mengubah nasib Everton secepat mungkin – bermula dengan pertemuan menentang Chelsea di Carabao Cup pada Rabu depan.
EVEvsARS from Ahmad Muzammil on Vimeo.