Quantcast
Godwin Antwi: Hulubalang Melaka United Dari Akademi Liverpool
KAJIAN & FAKTA

Godwin Antwi: Hulubalang Melaka United Dari Akademi Liverpool

Thursday, 19 Jan 2017

Godwin Antwi kini sah menyertai Melaka United pada musim 2017 ini selepas berpindah dari DRB-Hicom.

Berikutan pembubaran skuad senior DRB-Hicom FC yang bertanding dalam Liga Perdana pada musim lepas, Godwin Antwi kini boleh memperagakan bakat dan aksinya di depan peminat Liga Super.

Berikut adalah maklumat tentang bekas graduan akademi Liverpool FC ini.

Profail

Nama: Godwin Antwi Birago
Tarikh lahir : Jun 7, 1988
Tempat lahir: Kumasi, Ghana
Tinggi: 1.85m
Kewarganegaraan: Ghana-Sepanyol
Posisi: Bek Tengah
Kelab semasa (Januari 2017): Melaka United
Kaki prima: Kanan

Maklumat karier

Untuk peminat Liverpool, nama Godwin Antwi bukanlah nama yang asing. Beliau merupakan bekas pemain akademi Liverpool dari dari tempoh 2006 hingga 2009.

Beliau pernah membantu skuad belia Liverpool mengalahkan skuad belia Manchester City dalam final FA Youth Cup di England pada musim 2005-2006. Liverpool muncul juara selepas menewaskan Manchester City 3-2 secara agregat.

Selepas menyinar di peringkat remaja, Antwi melihat masa depannya di skuad senior Liverpool. Bagaimanapun kehadiran Sami Hyppia, Daniel Agger, Jamie Carragher, Gabriel Paletta dan Jack Hobbs menyukarkan beliau untuk memecah masuk skuad senior.

Pada usia 19 tahun, Antwi pernah dipanggil ke kem skuad bawah-19 Sepanyol. Beliau hampir terpilih. Namun disebabkan ada masalah pasport, beliau tak terpilih.

Untuk memastikan perkembangannya tak terbantut, Liverpool meminjamkan beliau ke beberapa kelab bawahan England iaitu Accrington Stanley, Hartlepool United, Tranmere Rovers dan Hereford United.

Bagaimanapun Antwi gagal membuktikan kemampuannya kepada Liverpool di 4 kelab bawahan ini. Beliau jarang-jarang diturunkan. Apabila diturunkan beliau tidak membawa apa-apa impak yang membuka mata pengurusan Liverpool.

Akhirnya pada tahun 2009, beliau dilepaskan oleh Liverpool.

Cabaran selepas Liverpool

Selepas gagal mencipta nama di Liverpool, Godwin Antwi menyertai kelab Denmark, Vejle Boldklub. Di Denmark beliau sekali lagi gagal mencipta nama. Bermain untuk sebuah pasukan kecil yang bergelut dalam zon penyingkiran juga tak membantu profailnya.

Selepas cabaran Denmark berakhir, Antwi berhijrah ke Norway pula. Di sini beliau hanya bertahan selama semusim.

Beralih angin ke Asia

Barangkali pasrah dengan takdir buruk beliau di Eropah, Godwin Antwi berhijrah ke Asia pula. Destinasi pertamanya adalah Sisaket FC – sebuah kelab kecil di liga teratas Thailand.

Perjudian Antwi untuk mencari makan di Asia berhasil. Di Sisaket FC, beliau menjadi pemain utama dan disanjung peminat sana.

Sisaket FC menawarkannya kontrak lanjutan menuju musim kedua. Tetapi peningkatan profailnya di thailand bermakna beliau sudah berada dalam radar pasukan bola sepak Malaysia.

Akhirnya pada pertengahan musim 2015, beliau menandatangani kontrak dengan DRB-Hicom FC dengan jumlah gaji yang tinggi.

Bermain untuk sebuah pasukan sederhana di Liga Perdana, Antwi pantas dilihat sebagai seorang pemain yang paling berpengalaman luas. Maka tak hairanlah beliau kerap dinamakan sebagai kapten pasukan.

Barangkali atas sebab itu jugalah Melaka United memilih Antwi sebagai ‘hulubalang’ terbaru mereka. Melaka United memerlukan pertahanan tengah yang kuat di udara, boleh menjadi pemimpin di atas padang dan berani dalam situasi 1v1.

Pada 2017, beliau baru berusia 28 tahun. Melaka United berjaya mendapatkan seorang pertahanan tengah yang berpengalaman pada peringkat puncak kariernya.

Baca juga: Data Pemain SB: Brian Fererra (Johor Darul Ta’zim 2017)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!


Kongsi

Komen Artikel: Godwin Antwi: Hulubalang Melaka United Dari Akademi Liverpool



Berita Bola Yang Menarik