Olivier Giroud menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa jaringan dengan gol kemenangan, untuk Perancis menewaskan Belanda 2-1 di Paris pada awal pagi tadi di pertandingan Nations League.
Tidak banyak yang dilakukan oleh Belanda dalam perlawanan ini untuk mengancam kubu Perancis, tetapi Ryan Babel masih berjaya menjaringkan gol penyamaan yang hampir merosakkan parti sambutan trofi Piala Dunia yang diadakan Perancis selepas perlawanan.
Ia adalah gol pertama Babel dalam perlawanan kompetitif untuk negaranya dalam tempoh 13 tahun, sekaligus memadam gol pendahuluan Perancis oleh Kylian Mbappe pada babak pertama perlawanan.
Namun ketika perlawanan berbaki 15 minit, penyerang Chelsea, Giroud menjaringkan gol ke-32 karier antarabangsanya, menjadikan rekod jaringan bersama Perancis oleh beliau mengatasai Zinedine Zidane.
Hanya pemain seperti Thierry Henry, Michels Platini dan David Trezeguet berada di hadapan Giroud dalam senarai penjaring sepanjang zaman untuk Perancis.
Tuan rumah memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan dan memiliki pendahuluan seawal minit ke-14 perlawanan. Kesilapan oleh Quincy Promes membenarkan Blaise Matudi menghantar bola kepada Mbappe yang tidak dikawal di dalam kotak penalti.
Mbappe yang menjaringkan empat gol di Piala Dunia hampir menjaringkan gol kedua, namun gagal menterjemahkan hantaran Anotone Griezemann dari sepakan percuma ke arah gol.
Ketika Perancis meningkatkan tekanan untuk gol kedua, penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen bertindak cemerlang menafikan Kylian Mbappe dengan memintas hantaran rendah kepada pemain tersebut, sambil mengelak dari dihukum dengan sepakan penalti.
Belanda memiliki peluang pertama dalam perlawanan ini pada minit ke-66 melalui Georginio Wijnaldum yang menggunakan kekuatan tubuh badannya meloloskan diri di celah pertahanan Perancis.
Namun ia berakhir dengan kekecewaan apabila percubaan pemain tengah Liverpool itu liar dan tinggi.
Seminit kemudian giliran bekas pemain Liverpool, Babel tampil menjaringkan gol penyamaan untuk Belanda setelah berjaya menewaskan kawalan Benjamin Pavard untuk menyambar hantaran lintang Kenny Tete.
Namun Giroud adalah watak yang disanjung dalam perlawanan ini dengan gol kemenangan, apabila berjaya meloloskan diri dari kawalan pemain pertahanan termahal dunia, dan kapten pasukan, Virgil van Dijk untuk menanduk masuk hantaran Benjamin Mendy.
Dan tempoh berikutnya selepas perlawanan, adalah tempoh untuk berparti buat Perancis dan penyokong-penyokong mereka di Stade de France.