Pertahanan kelab Humburger SV, Gotoku Sakai, menjadi pemain ketiga daripada skuad Jepun yang mengumumkan persaraan daripada tugasan antarabangsa selepas negara itu tersingkir di peringkat kelompok 16 terakhir Piala Dunia di tangan Belgium.
“Saya sentiasa cuba untuk membantu pasukan, tetapi saya tidak dapat membalas kepercayaan itu dengan persembahan,” kata pemain yang berusia 27 tahun itu.
Di Piala Dunia Russia, Sakai, yang tampil sebanyak 42 kali untuk Jepun sepanjang enam tahun lalu, hanya diturunkan ketika kekalahan 1-0 kepada Poland di peringkat kumpulan.
Dia menyertai kapten skuad Samurai Biru, Makoto Hasebe dan penyerang AC Milan, Keisuke Honda yang mengumumkan persaraan antarabangsa beberapa hari lalu.
Gotoku Sakai has announced he is leaving the Japanese nation’s team. Very sad news today, he has been an amazing player, and an inspiration to other biracial kids in Japan to show how far you can go! Thank you Gotoku!! https://t.co/t8142F0P9R
— Mask Up! (@dumplingdesirer) July 3, 2018
Ketiga-tiga pemain itu bersara selepas tewas 3-2 kepada Belgium dalam kelompok 16 terakhir.
Jepun tersingkir selepas mensia-siakan kelebihan dua gol di Rostov-on-Don dan Belgium menempah tempat di suku akhir menerusi sepakan terakhir permainan oleh Nacer Chadli.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Jepun mengesahkan pengendali sementara Akira Nishino, yang mengambil alih pasukan 71 hari sebelum perlawanan pertama Piala Dunia mereka, tidak akan menyambung tugasnya.
Bekas pengendali Jerman dan Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann dikaitkan dengan jawatan berkenaan.