Belum pun sempat skuad negara berlepas ke Singapura bagi siri persahabatan di sana, sudah ada beberapa pemain terpaksa digugurkan atas beberapa masalah dan terbaharu penjaga gol berbakat, Rahadiazli pula terpaksa diketepikan akibat jangkitan virus Covid-19.
Jelas Kim Pan Gon selaku pengendali baharu Harimau Malaya itu, penjaga gol tersebut sudah menunjukkan beberapa simptom akan jangkitan Covid-19 berdasarkan tahap kesihatan yang dibuat dan ternyata Rahadiazli sememangnya positif.
Rahadiazli Rahalim Terpaksa Digugurkan Daripada Kem Latihan Harimau Malaya
Dukacita dimaklumkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC telah disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR diperolehi.
Baca penuh di https://t.co/AgNYvixXKu#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/wPyDF1oGcq
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 18, 2022
“Dukacita dimaklumkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC telah disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian PCR diperolehi lewat malam semalam.
“Pagi semalam, kesemua pemain dan pegawai sudah melakukan ujian RTK yang mana kesemuanya negatif, namun disebabkan Rahadiazli menunjukkan beberapa simptom berkaitan, penjaga gol tersebut telah diarahkan untuk membuat pula ujian PCR pada sebelah petangnya,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu menurut laporan daripada Harian Metro.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk mengambil pemain gantian setelah Rahadiazli sah digugurkan dari kem kebangsaan.
“Dengan hanya berbaki empat hari latihan pusat tempatan sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura pada Selasa ini, pengurusan pasukan kebangsaan memutuskan untuk tidak memanggil penjaga gol baharu dan mengekalkan tiga penjaga gol sedia ada iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia, pengurusan pasukan kebangsaan mendoakan kesihatan Rahadiazli supaya beliau dapat segera sembuh,” katanya.
Musim lalu, penjaga gol ini terlepas hampir keseluruhan aksi bersama Terengganu setelah beliau sah mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang juga membuatkan Rahadiazli turut terpaksa melihat sahaja rakan sepasukan negara beraksi di saingan Piala AFF 2020.
Selain Rahadiazli, pemain lain yang turut digugurkan adalah Nazmi Faiz Mansor yang mengalami masalah kecederaan sewaktu sesi latihan serta Darren Lok yang turut sama positif Covid-19 sehingga digantikan oleh Zhafri Yahya.
Skuad kebangsaan bakal menghadapi tiga perlawanan di Singapura dengan membabitkan tuan rumah dan juga skuad kebangsaan Filipina.
Selain itu, skuad kendalian Pan Gon juga bakal diuji dengan kelab tempatan di sana iaitu Albirex Niigata untuk melihat sejauh mana sentuhan pertama jurulatih tersebut mengendalikan tugas pertamanya.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!