Ia mungkin bukan di dalam perancangan asal yang diimpikan oleh Gianluigi Buffon sebelum berundur daripada bola sepak profesional buat selamanya, setelah mengumumkan keputusan untuk bersara pada penghujung musim ini.
Pengundurannya daripada bola sepak mungkin lebih manis jika Itali berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.
Niat asalnya pasti untuk mengumumkan persaraan di pentas bola sepak tertinggi dunia itu, juga merupakan penampilan ke-6 Buffon dalam pusingan akhir kejohanan tersebut. Namun Itali gagal untuk layak.
Namun segalanya masih belum berakhir buat penjaga gol berusia 39 tahun ini. Secara realistik, Buffon masih berpeluang untuk mengejar 2 lagi rekod sebelum menanggalkan sarung tangan penjaga gol buat selamanya.
Pada ketika ini, Buffon adalah pemain kedua yang memiliki penampilan terbanyak dalam saingan Serie A Itali. Rekod terkini dipegang oleh Paolo Maldini yang tampil sebanyak 647 kali. Buffon telah beraksi dalam 627 perlawanan Serie A.
Ini bermakna jika Buffon boleh mengelakkan kecederaan dan tidak menjalani sebarang pergantungan serta beraksi di dalam sekurang-kurangnya 21 perlawanan daripada baki 26 perlawanan Serie A, Buffon akan dikenang sebagai pemegang rekod dengan penampilan terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah saingan Serie A Itali.
Selain daripada rekod penampilan, Buffon turut boleh mengejar jumlah kejuaraan Serie A terbanyak yang pernah dimenangi oleh mana-mana pemain di dalam saingan Serie A Itali.
Untuk rekod, Virginio Rosetta, Giovanni Ferrari, Beppe Furino serta Buffon sendiri pernah memenangi kejuaraan liga Itali masing-masing sebanyak 8 kali.
Jika Buffon dan Juventus mengulangi kejayaan mereka pada musim lalu untuk bergelar juara, ini bermakna Buffon akan menjadi pemegang rekod mutlak untuk pemenang kejuaraaan Serie A terbanyak di dalam sejarah.
Sebenarnya Buffon telah menjuarai kejuaraaan Serie A sebanyak 10 kali. Namun selepas pihak penganjur melucutkan kejuaraan pada 2004-2005 dan 2005-2006 akibat skandal Calciopoli, secara teknikalnya Buffon hanya memiliki 8 kejuaraan pada hari ini.
Setakat ini Buffon adalah pemegang rekod untuk penampilan terbanyak sebagai penjaga gol, rekod tanpa dibolosi tertinggi (974 minit) dan juga ‘clean sheets’ terbanyak secara berturut-turut (10).
Bersama Juventus, Buffon mencatatkan minit aksi tertinggi di kalangan pemain di kelab Turin itu dan pemegang rekod untuk penampilan terbanyak dalam pertandingan UEFA Champions League untuk Old Lady.
Namun demikan, Alessandro Del Piero adalah pemegang rekod dengan penampilan terbanyak untuk Juventus dengan rekod 705 perlawanan. Untuk ini, Buffon memerlukan 70 perlawanan lagi untuk memecahkannya.
Keputusan seri menentang Sweden adalah perlawanan yang ke-175 buat Buffon bersama Itali. Ia juga adalah rekod penampilan terbanyak untuk negaranya, dan juga berkemungkinan besar yang terakhir buat Buffon.
Bersama Itali, Buffon juga merekodkan jumlah tidak dibolosi tertinggi iaitu 77 perlawanan, jumlah penalti tertinggi yang diselamatkan iaitu 5 kali, dan berkongsi rekod dengan Fabio Cannavaro untuk tampil sebagai kapten pasukan kebangsaaan Itali dalam 79 perlawananan.