Bekas pemain Chelsea, Gianfranco Zola meramalkan bahawa juara UEFA Champions League (UCL) musim 2011/12, Chelsea mampu mengejutkan Barcelona di Nou Camp awal pagi nanti.
Dalam satu temubual bersama Omnisport, Zola memaklumkan bahawa beliau yakin dengan skuad The Blues dibawah kendalian Antonio Conte untuk menewaskan Barcelona dalam perlawanan timbal balik UCL.
“Saya rasa mereka (Chelsea) boleh tewaskan Barcelona di sana, saya yakin mereka ada potensi untuk melakukannya” ujar Zola.
“Saya tahu pemain Barcelona ada yang tidak mengemari beberapa pemain Chelsea, kerana kelebihan yang dimiliki pemain-pemain tersebut”
Tambahanya lagi, “Saya yakin dengan Antonio Conte dan pemain yang dimiliki Chelsea ini. Jadi perlawanan malam ini masih terbuka bagi kedua-dua pasukan meskipun kita sudah tahu Barcelona berkelebihan jaringan gol ditempat lawan”
Pada perlawanan pertama pada 20 Febuari lalu di Stamford Bridge, Barcelona berjaya mengikat Chelsea dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Lionel Messi.
Zola yang pernah beraksi bersama Chelsea selama 7 tahun tidak menafikan bahawa, bukan mudah untuk tewaskan Barcelona di Sepanyol. Tetapi jika Chelsea bertahan dengan baik dari serangan-serangan Barcelona, Zola yakin drama 2012 akan berulang kembali.
“Menentang Barcelona bukan satu hal yang mudah, jika kita (Chelsea) terikut corak permainan mereka.
“Tetapi saya yakin Chelsea akan mampu mara ke peringkat seterusnya jika mereka mampu bermain secara bertahan dengan baik dan sempurna”
Chelsea dan Barcelona bakal bertemu dalam perlawanan kedua UCL di Nou Camp. Untuk rekod, sejak 2004 sehingga kini, Chelsea telah berkunjung ke Nou Camp sebanyak 5 kali dan dalam kesemua perlawanan tersebut, Chelsea masih gagal mencatat kemenangan disana.