Legenda Chelsea, Gianfranco Zola menegaskan bahawa kehadiran pemain dari luar negara amat penting dalam meningkatkan lagi kualiti saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke tahap yang lebih baik.
Zola juga tidak terkecuali menjadi antara pemain dari luar negara yang begitu menyinar ketika menyarung jersi Chelsea apabila beliau berjaya menjaringkan 80 gol dalam 311 penampilan selama tujuh musim di England.
Sepanjang bersama Chelsea, Zola membantu The Blues menjuarai kempen UEFA Cup Winners’ Cup dan Piala Liga 1997/98, dua trofi Piala FA [1996/97 & 1999/00] dan Piala Super Eropah 1998.
Musim lalu, Zola yang kini berusia 54 tahun itu menjadi pembantu kepada bekas pengurus Chelsea, Maurizio Sarri dan berjaya menjuarai saingan Liga Europa selepas menundukkan Arsenal 4-1 pada perlawanan akhir di Baku.
Sebagai seorang yang begitu arif dengan persekitaran bola sepak Inggeris, Zola melihat kehadiran pemain-pemain dari luar negara turut memainkan peranan dalam membantu perkembangan pemain muda England.
”Saya merasakan John Terry tidak akan menjadi pemain seperti yang dinikmatinya pada hari ini jika dia tidak memiliki Marcel Desailly atau Frank Leboeuf di hadapannya ketika bersama kami di Chelsea.”
”Apa yang membuatkan anda menjadi lebih baik adalah kerana tidak bermain di kejohanan yang sederhana. Apa yang membuatkan anda menjadi lebih baik kerana bermain pada 10 perlawanan dalam saingan liga yang sangat kompetitif.”
”Kerana pemain seperti saya, Sergio Aguero, Kevin De Bruyne dan ramai lagi yang lainnya, maka pertandingan di England berada pada tahap yang tinggi.”
”Sekiranya anda juga ingin terlibat, anda perlu menjadi pemain yang bagus. Dan kemudiannya, jika anda cukup bagus, maka anda menjadi semakin bagus,” ujar Zola menurut laporan Goal.
Kredit featured image: Mark Leech/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Gianfranco Zola: