Perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok menjanjikan aksi yang sengit apabila juara bertahan, Kedah bertemu dengan juara Liga Super 4 kali iaitu JDT.
Dengan kehadiran 80 000 penyokong di Stadium Shah Alam esok dan lebih 7 juta penonton di rumah dari seluruh negara, perlawanan ini dijangka akan menjadi buah mulut peminat bola sepak di tanah air sama ada melalui media sosial ataupun sekadar sembang-sembang di kedai kopi.
Namun bagi penyerang import JDT, Mohammad Ghaddar, beliau mahu mengakhiri musim 2017 dengan menjulang Piala Malaysia selepas mengalami kesukaran ketika bersama Kelantan.
Ghaddar mahu membuktikan JDT membuat keputusan yang betul untuk memindahkannya daripada pasukan Kelantan ketika pertengahan musim dengan memastikan malam esok adalah milik JDT.
Beliau setakat ini sudah menjaringkan 23 gol dalam liga super sehingga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak liga dan telah mengumpulkan 5 gol dalam saingan Piala Malaysia.
Selepas membantu Kelantan menjuarai Piala Malaysia di stadium yang sama pada 5 tahun lepas, beliau tidak sabar melakukannya sekali lagi pada malam esok.
Pemain dari Lebanon itu turut mengakui peluang untuk pasukannya menumpaskan penyandang juara Kedah dalam perlawanan akhir ini adalah 50-50.
Penyerang berusia 33 tahun itu bagaimanapun berkata sekiranya pasukannya dapat bermain dengan baik, tidak mustahil Piala Malaysia 2017 akan menjadi milik skuad Harimau Selatan.
“Kedah bukan lawan yang mudah dan saya meletakkan peluang 50-50 namun sekiranya pasukan dapat bermain dengan baik, kemenangan pasti akan dicapai,” katanya melalui laman facebook rasmi JST.
JDT mencatat kemenangan bergaya 3-0 menewaskan Perak di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin dalam separuh akhir kedua bulan lalu.
Menerusi kemenangan itu, JDT melangkah ke final Piala Malaysia 2017 dengan agregat 4-1 bertemu juara bertahan Kedah yang turut membenam cabaran Felda United dengan agregat 3-1.
Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi yang masih belum dikecapi skuad Harimau Selatan dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini. Mereka pernah mara ke final pada 2014, namun dikecewakan Pahang menerusi penalti penentuan 5-3.
Ghaddar percaya, mentaliti kemenangan yang diterapkan ke dalam JDT turut mempengaruhi kariernya selepas membantu juara Liga Super itu melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia 2017.
“Segalanya bagus di JDT termasuklah dari segi fasiliti, pemain-pemain hebat serta pemimpin terbaik yang sering memberi motivasi kepada pemain,” ujarnya.