Kelmarin, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) akan ditutup malam semalam setelah memperuntukkan tempoh selama 12 minggu kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana mendapatkan pemain terbaik mereka sejak ia mula dibuka 20 November lalu.
Kemasukan minit akhir yang dapat disaksikan ketika jendela perpindahan berbaki sehari lagi adalah bekas pemain import Selangor, Andik Vermansyah yang sah menyertai juara Piala FA 2017, Kedah dengan kontrak selama setahun manakala bekas pemain import Selangor, Forkey Doe menyertai pasukan Pahang.
Terbaharu, penyerang kelahiran Lubnan, Mohammed Ghaddar dikhabarkan kembali menyertai Kelantan dalam perpindahan minit akhir semalam setelah beraksi dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) musim lepas.
Hal ini disahkan oleh wartawan laman portal FourFourTwo Malaysia, Vijhay Vick melalui laman twitternya.
“Kelantan telah menandatangani Ghaddar buat kali ke 4. Perpindahan terakhir pada hari ahad sebelum jendela perpindahan ditutup,” katanya.
Kelantan have signed Ghaddar for the fourth time. Late signing on Sunday before window closed.
— Vijhay Vick (@vijhayvick) February 12, 2018
Musim lepas, Ghaddar sempat beraksi dengan pasukan Kelantan dan muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super. Beliau kemudian dilamar oleh pasukan JDT bagi mengisi kuota pemain import Asia yang ditinggalkan oleh Harris Harun pada jendela perpindahan kedua.
Ketika itu, Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengesahkan mereka sudah menghantar bidaan rasmi untuk Ghaddar.
Alistair Edwards berkata:
“Kami di pengurusan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menghantar surat tawaran rasmi kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan khidmat pemain Kelantan, Mohammed Ghaddar dari awal lagi.”
“Tawaran ini masih dalam rundingan dan akan menjadi satu ‘win-win situation’ kepada semua pihak yang terlibat dan sekaligus bakal menjadikan ianya perpindahan tertinggi di Malaysia dalam sejarah bola sepak tanah air.”
Aistair Edwards menganggap ini sebagai situasi menang menang untuk kedua-dua pihak.
“Ini adalah satu tawaran yang baik untuk kedua-dua kelab, di mana Kelantan akan dapat menyelesaikan beberapa isu-isu kewangan serta membeli beberapa pemain baru.”
“JDT pula akan mendapat seorang pemain yang terbukti cemerlang dengan rekod prestasi yang sentiasa mahukan kejayaan.”
Pada waktu yang sama, Ghaddar menyatakan dia mahu keluar dari Kelantan kerana perlu memikirkan soal nafkah keluarga.
Isu ini mendapat perhatian ramai pihak pada musim lepas. Penyokong Kelantan berat hati untuk melepaskan Ghaddar ke pasukan lain yang menjadi hero treble mereka satu ketika dahulu.
Bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut berasa kecewa dengan perpindahan pemain itu yang disifatkan sebagai seorang yang dianggap sebagai anak kepada beliau sendiri.
Ghaddar akhirnya dilepaskan oleh JDT dan Gonzalo Caberra yang mempunyai passport Iraq mengisi kuota pemain import Asia bagi pasukan JDT bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.