Quantcast

BERITA

Gerrard Tolak Tawaran Ganti Lampard Di Derby County

Pengurus kelab Liga Scotland Rangers, Steven Gerrard dilaporkan menolak peluang untuk kembali ke Liga Inggeris setelah menolak tawaran yang ditawarkan oleh Derby County.

Bekas kapten berstatus legenda di Liverpool, Gerrard menjadi pilihan utama pengurusan The Rams untuk menggantikan Lampard yang dijangka akan kembali menyertai Chelsea untuk menggantikan Maurizio Sarri.

Sarri kembali ke Itali untuk menyertai Juventus selepas semusim di Stamford Bridge.

Baru-baru ini The Times melaporkan Derby telah melamar Gerrard untuk menjadi pengganti kepada bekas rakan pasukan senegara beliau di dalam pasukan England, namun Gerrard dikatakan tidak berminat untuk kembali ke England buat masa ini.

Malah Gerrard dikatakan komited untuk terus kekal bersama Rangers, dan kini dalam perancangan membawa masuk tiga pemain baharu sebelum bermulanya kem latihan pra musim kelab itu di Portugal.

Gerrard sebelum ini melepaskan jawatan beliau bersama skuad akademi Liverpool untuk jawatan di Ibrox. Pada musim pertama penuh beliau bersama Rangers, Gerrard berjaya memimpin kelab tersebut menduduki tangga kedua Liga Perdana Scotland, sekaligus layak ke pertandingan UEFA Europa League musim hadapan.

CHISINAU, MOLDOVA – SEPTEMBER 07: Steven Gerrard and Frank Lampard of England look on during the FIFA 2014 World Cup qualifier match between Moldova and England at Zimbru Stadium on September 7, 2012 in Chisinau, Moldova. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

The Times turut melaporkan Derby berkemungkinan akan mendapatkan seorang lagi bekas pemain antarabangsa England, John Terry sebagai pengganti Lampard setelah Gerrard menolak tawaran tersebut.

Lampard yang dianggap legenda di Stamford Bridge semakin pasti akan ke Chelsea, dengan beberapa laporan di UK mengatakan Chelsea akan melakukan pengumuman dalam tempoh terdekat.