Quantcast

BERITA

Gergasi Merah Enggan Tercicir Mata Lagi Dalam Baki Lima Perlawanan

Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menyifatkan perlawanan menentang Pahang malam esok ibarat perlawanan akhir bagi memburu kedudukan tiga teratas dalam carta Liga Super.

Skuad gergasi merah kini menghuni kedudukan kelima dengan 25 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan Kedah serta Melaka United di kedudukan ketiga dan keempat.

Bekas pengendali FELDA United itu menyasarkan untuk mengutip 15 mata maksimum meskipun bakal berdepan lawan yang lebih kuat dalam baki lima perlawanan terakhir Liga Super.

“Berdepan Pahang ibarat perlawanan akhir buat kami.

“Kami tidak mahu terus keciciran mata untuk melaksanakan misi sekurang-kurangnya meraih kelompok empat terbaik.

“Walaupun kalah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Rabu lalu, saya nampak semangat dan corak permainan anak buah bertambah baik,” katanya dalam Stadium Astro.

Selangor

Bagaimanapun, mereka dijangka akan berdepan skuad Tok Gajah dengan skuad yang tempang kerana beberapa tonggak utama dilanda kecederaan dan berdepan hukuman penggantungan.

Namun begitu, Satiananthan enggan memberi sebarang alasan dan yakin dengan kemampuan pemain simpanan yang akan menggantikan tempat tonggak utama tersebut.

“Halim dan Syazwan masih dibelenggu kecederaan manakala Regan dan Sarkunan pula akan menjalani penggantungan.

“Sebagai sebuah pasukan, mana-mana pemain yang diberi peluang perlu beraksi dengan baik dan saya mempunyai keyakinan untuk itu.

“Mungkin kehilangan Taylor merupakan satu tamparan hebat tetapi kami perlu mengatasi masalah tersebut dengan menaruh keyakinan kepada pemain yang akan menggantikan tempatnya,” katanya.