Kunjungan Juventus ke Wanda Metropolitano bukanlah detik yang indah buat kelab Turin itu.
Ini kerana skuad bimbingan Massimiliano Allegri telah mengalami kekalahan 0-2 ditangan Atletico Madrid pada aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Dua jaringan dihasilkan Jose Gimenez dan Diego Godin yang kedua-duanya merupakan pemain pertahanan tengah Atletico Madrid nyata memberikan kesukaran buat Juventus menjelang aksi kedua di Allianz Stadium pada 13 Mac nanti.
Namun, bagi ketua pasukan, Georgio Chiellini, beliau beranggapan peluang masih terbuka buat Juventus dan yakin pasukannya mampu untuk memenangi perlawanan tersebut sekaligus layak ke saingan suku akhir.
”Kami tahu bahawa mereka (Atletico Madrid) sangat berbahaya dalam situasi ‘set-pieces’ dan kami perlu memberikan lebih fokus pada situasi tersebut.”
”Kami perlu kekal tenang kerana kami masih boleh melakukannya (mencatatkan kemenangan).”
”Kami perlu melupakan kekalahan ini secepat yang mungkin dan berusaha untuk menang di Turin,” ujar Chiellini yang bercakap kepada wartawan selepas perlawanan.
Pada perlawanan awal pagi tadi, penguasaan permainan yang ditampilkan Juventus langsung tidak memberikan sebarang makna.
Sebaliknya, Atletico Madrid lebih bijak dalam menggunakan kesempatan menerusi situasi bola mati (sepakan penjuru dan sepakan percuma) untuk mencipta dua jaringan dalam tempoh lima minit.